Kiriman Agung, lagu Fattah Amin untuk anak

0
367
Kiriman Agung merupakan lagu khas Fattah Amin untuk anak yang bakal lahir pada Oktober ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KATALAH apa saja, Fattah Amin tidak mudah mengalah, sebaliknya beliau akan terus melangkah selagi terdaya. Dek sikap positifnya itulah, sedar tak sedar sejak 2013 hingga kini, Fattah telah merakam lebih daripada 10 buah lagu.

Meskipun lagu-lagu dendangan Fattah tidak mengungguli carta lagu tempatan, namun karyanya itu masih didengari oleh peminat-peminat seni tanah air.

Kalau tak percaya, tengoklah video muzik lagu-lagu dendangan Fattah yang mendapat ribuan tontonan itu, antaranya Wanita Terakhir, 1234U, Wanita Terindah serta Sorry-Sorry Sayangku.

Fattah yang teruja untuk menimang cahaya mata pertama bersama isteri, Fazura, mahu berkongsi kegembiraannya itu menerusi lagu Kiriman Agung.

Istimewanya, lagu Kiriman Agung, hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya itu dibuat khas untuk anak sulung yang bakal dilahirkan Oktober ini.

Kali pertama Fattah mendendangkan lagu bergenre nasyid.

Malah, lagu terbitan Universal Music Malaysia itu juga adalah percubaan pertama Fattah, 30, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin menyanyikan lagu genre nasyid atau ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, insya-Allah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan. Bagi saya, lagu ini bukan saja untuk saya, tapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa.

“Malah, untuk lagu ini keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya bagi idea kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini. Saya ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” katanya kepada pihak media.

Kombinasi antara muzik, lirik dan lontaran vokal daripada Fattah menjadikan naskhah ini lebih bermakna dan bermanfaat buat semua.

Kelainan untuk Fattah yang pertama kali berkarya dalam genre ini menjadikan satu ekperimentasi yang terbaik supaya dapat menjengah ke liputan peminat yang lain daripada sebelum ini.
Fattah yang juga penyanyi lagu Paling Sempurna berkata, tercetusnya idea menghasilkan lagu Kiriman Agung selepas dia melancarkan lagu Bebas.

Fattah Amin harap lagu Kiriman Agung mendapat sokongan ramai.

“Selepas lagu Bebas yang mengangkat tema semangat dan inspirasi, dari situ saya terfikir nak buat pula lagu ketuhanan iaitu genre yang belum pernah saya buat.

“Apabila saya sampaikan idea ini pada Universal Music Malaysia, saya fikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang. Apabila ia dipersetujui, saya pun terus sampaikan idea pada Hafiz yang juga penerbit lagu ini,” katanya tersenyum.

Berkongsi mengenai genre lagu ini, Fattah yang juga pelakon filem Special Force menyifatkan ia peluang terbaik untuk dirinya memulakan genre itu pada masa akan datang.
Malah, Fattah berkata merakamkan lagu genre itu memberikan pengalaman baharu buat diriya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya saya sudah lama nak nyanyi lagu ketuhanan atau Islamik. Tapi, ini pertama kali dapat peluang daripada Universal Music Malaysia dan dapat pula berkolaborasi dengan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya.

“Saya berasakan ia peluang terbaik buat saya untuk mulakan dengan genre ini. Malah, kalau ikutkan juga saya sudah lama nak buat lagu ini, tapi belum ada waktu sesuai. Jadi, apabila dapat masa terbaik saya putuskan untuk rakam.

“Nak cakap susah atau tak, tentu saja susah. Apatah lagi ini percubaan pertama saya sebab tak pernah nyanyi lagu bergenre ini. Tapi, alhamdulillah dapat tunjuk ajar daripada penerbit. Jadi, kami bersama-sama berusaha sehabis baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya yang cukup terbaik,” akuinya.
Sama seperti single yang dihasilkan sebelum ini, Fattah juga meletakkan harapan agar lagu itu dapat diterima baik pendengar muzik tempatan.

“Tentu saja saya mengharapkan yang terbaik daripada pendengar. Walaupun saya masih baru untuk genre ini, tapi saya sudah buat yang terbaik. Jadi, saya harapkan yang terbaik juga daripada pendengar.

“Daripada komen saya baca pun, banyak memberikan maklum balas positif. Sekali gus membuatkan saya gembira. Genre seperti ini sebenarnya masih ada peminat dan pendengar. Mereka juga doakan yang baik-baik buat saya dan zuriat yang bakal dilahirkan,” harapnya.

Dalam masa sama, Fattah berkongsi yang beliau masih dalam perancangan untuk menghasilkan video muzik lagu itu.

Kiriman Agung sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 11 September lalu.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here