BWF tunda Piala Thomas-Uber 2020 ke 2021

0
265
SKUAD Piala Thomas dan Uber Malaysia terpaksa akur dengan penundaan terbaharu oleh BWF, kali ketiga sejak Mei lalu. - Foto FB BAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) selepas berunding dan mendapat persetujuan tuan rumah Badminton Denmark (BD) hari ini membuat keputusan perit dengan menunda pusingan akhir Piala Thomas-Uber 2020 di Aaarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini ke tahun depan.

Kenyataan dalam laman sesawang rasmi bwfbadminton.com menyebut, keputusan itu (penundaan kali ketiga) diambil ekoran penarikan diri negara-negara peserta daripada kejohanan berpasukan lelaki dan wanita dunia itu.

Mereka ialah juara Piala Thomas 13 kali, Indonesia selain Australia, Taiwan, Thailand dan Korea Selatan yang mengumumkan penarikan diri sejak dua minggu lalu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A Piala Thomas dengan Indonesia, musuh tradisinya di samping England dan Belanda manakala Kumpulan B Piala Uber menampilkan skuad wanita kita dengan Indonesia, Korea Selatan dan Australia.

BWF sedang mencari kemungkinan tarikh gantian untuk menjadualkan semula Piala Thomas Ke-31 dan Uber Ke-28, 2020 di Arena Ceres, Aarhus tetapi pada tarikh yang bukan sebelum 2021.

Piala Thomas-Uber 2020 pada mulanya dijadualkan pada 16 hingga 24 Mei lalu tetapi ditunda buat kali pertama, ke 15 hingga 23 Ogos sebelum ditunda lagi ke 3 hingga 11 Oktober ini.

“BWF dalam kerjasama dengan BD sudah beberapa bulan membuat persediaan bagi mengembalikan badminton antarabangsa dengan selamat termasuk mengambil langkah ekstrem dalam menjamin kesihatan dan keselamatan para peserta seperti pelaksanaan satu ’sistem buih’ bagi mencipta satu ekosistem badminton yang selamat.

“Walau bagaimanapun, melihat perkembangan semasa berkaitan Covid-19 di seluruh dunia, sebilangan pasukan dan pemain tertentu memilih untuk tidak bertandang ke Denmark bagi kejohanan-kejohanan di Aarhus dan Odense – satu pilihan yang BWF perlu hormati dan akui.

“Ini merupakan keadaan yang luar biasa yang kami hadapi dan dalam mengembalikan badminton antarabangsa masih menjadi satu keutamaan buat BWF, kesihatan dan keselamatan seluruh masyarakat badminton merupakan kepentingan yang tertinggi.

“Justeru, selepas berbincang panjang lebar dengan para pemegang taruh, rakan-rakan komersial dan persatuan-persatuan negara anggota peserta, BWF menyedari tidak mampu melangsungkan pertandingan tersebut pada tahap yang diharapkan para peminat dan semua pemegang taruh sekali gus tidak akan meneruskannya pada 3 hingga 11 Oktober ini,” lapor laman itu.

Leong Jun Hao antara pemain perseorangan skuad Piala Thomas. – Foto FB BAM

BWF sedang mencari kemungkinan tarikh gantian untuk menjadualkan semula Piala Thomas Ke-31 dan Uber Ke-28, 2020 di Arena Ceres, Aarhus tetapi pada tarikh yang bukan sebelum memasuki 2021.

Sementara itu, Terbuka Denmark 2020 di Odense, sebuah acara Jelajah Dunia BWF, akan diteruskan seperti perancangan asal dalam Kalendar Kejohanan BWF iaitu 13 hingga 18 Oktober.

Kejohanan itu turut akan digunakan sebagai satu peluang melaksanakan Tatacara Pelaksanaan dan Peraturan Keselamatan Covid-19 bagi rancangan permulaan semula kejohanan-kejohanan badminton antarabangsa.

Kejohanan kedua yang dijadualkan di Odense – Master Denmark 2020 yang dijadualkan pada 20 hingga 25 Oktober ini telah dibatalkan kerana tidak lagi sesuai untuk melangsungkan acara tambahan ini.

Satu kajian mengenai kesesuaian untuk meneruskan tiga kejohanan di Asia yang dirancang dalam Jelajah Dunia BWF yang telah diubah suai sedang dijalankan dan BWF akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja butirannya dijelaskan.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here