Isu tanah Felda: Bicara kes saman Synergy ke atas Shahrir pada 26 Okt

    0
    172

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini menetapkan tiga hari bermula 26 Okt depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berhubung isu tanah Felda.

    Peguam Ranjit Singh yang mewakili Shahrir selaku defendan memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 26, 27 dan 28 Okt, selepas pengurusan kes itu di hadapan Hakim Wong Chee Lin.

    “Empat atau lima saksi dari pihak plaintif dan defendan akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu,” katanya.

    Menurut Ranjit, mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 dan 27 Mac lepas, namun ditangguhkan kerana ketika itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

    Pada 4 Jun 2018, Synergy Promenade selaku plaintif menyaman Shahrir, yang ketika itu Pengerusi Felda atas dakwaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

    Berdasarkan penyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek yang sedang diusahakan.

    Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai.

    – Bernama

     

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here