Selamatkah data peribadi rakyat Malaysia?

0
321
GRAPHICS: Wikimedia Commons/ Blogtrepreneur / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

Oleh Ahmad Abd Hamid

APA perasaan anda apabila data peribadi diri dicuri dan disimpan dalam satu pangkalan data asing? Mungkin anda marah kerana maklumat sulit dan privasi anda telah diceroboh.
Namun apa yang paling membimbangkan ialah untuk tujuan apa data itu dicuri dan disimpan? Pencuri bukan sahaja telah mendapat akses kepada semua maklumat peribadi, malah mungkin sentiasa meneliti dan memantau pergerakan anda.

Memetik laporan ABC News yang berpusat di Australia, sebuah firma yang ada hubungan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China telah mengumpul maklumat profil 1,400 rakyat Malaysia.

Mereka adalah di antara 250,000 individu yang maklumat mereka diperoleh daripada pangkalan Data Zhenhua yang bocor. Pangkalan ini menyimpan maklumat 2.4 juta orang.
Selain rakyat Malaysia, turut dicuri maklumat ialah rakyat Amerika, Australia, India, Britain, Kanada, Indonesia dan Papua New Guinea.

Maklumat pangkalan data ini dibocorkan kepada seorang ahli akademik Amerika, Chris Balding, yang pernah bekerja di Universiti Beijing sehingga 2018 apabila dia meninggalkan negara itu.

Balding kemudian menyerahkan pangkalan data 2.4 juta orang itu kepada syarikat keselamatan siber Internet 2.0 berpangkalan di Australia. Syarikat itu berjaya memperoleh 10 peratus data tersebut.

Rakyat Malaysia ada sebab untuk berasa resah setelah laporan ini terdedah. Sesiapa sahaja daripada kita mungkin salah seorang daripadanya kerana tidak diketahui data siapa telah dicuri.
Laporan itu tidak menyebut secara terperinci mengenai maklumat yang dikumpulkan ke atas rakyat Malaysia, atau kategori mereka. Cuma dalam kes 35,558 rakyat Australia yang dibocorkan, mereka merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.

Apa muslihat di kejadian mencuri data peribadi ini, khususnya yang melibatkan rakyat Malaysia? Tidak diketahui tetapi kebimbangan pasti wujud apabila mengetahui Tentera Pembebasan Rakyat China dan Parti Komunis China adalah antara pelanggan utama pangkalan Data Zhenhua, yang mempunyai 20 pusat pengumpulan data di seluruh dunia.

Bagaimana pula maklumat peribadi yang dianggap sulit boleh jatuh ke tangan pihak tidak berkenaan? Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tetapi nampaknya ia tidak cukup memberi perlindungan, terutama jika ada pihak yang tidak jujur membocorkan maklumat kepada pihak lain.

Selain daripada sumber terbuka, maklumat pangakalan Data Zhenhua dipercayai dikutip daripada rekod bank, aplikasi pekerjaan serta profil psikologi. Kesemua ini adalah maklumat sulit dan terkelas. Hakikat ia dapat diakses bererti ada pihak daripada pangkalan asal membocorkannya, atau sistem pangkalan data asal digodam.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia mesti memberi perhatian serius terhadap pendedahan mencuri data peribadi ini. Berwaspada dan bertindak agar ia dibendung dan tidak dibiarkan berterusan.

Ini kerana dibimbangi kesannya bukan sahaja terhadap mereka yang telah dicuri profil diri, tetapi juga terhadap negara, apatah lagi jika ia melibatkan aspek keselamatan.

Data tersebut menunjukkan China telah melakukan pemantauan secara besar-besaran terhadap rakyat di seluruh dunia. Perbuatan ini mencabuli hak peribadi. Justeru bukan sahaja Malaysia, bahkan kesemua negara terlibat perlu menyatakan bantahan keras kepada China. Kegiatan itu mesti dihentikan segera.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here