Penganggur jujur pulang beg berisi duit, emas

0
8192

DUBAI – Bayangkan anda kesedihan setelah baru sahaja dibuang kerja dan tiba-tiba temui sebuah beg kecil yang sarat berisi banyak wang tunai dan sejumlah perhiasan emas tidak ternilai harganya.

Mungkin ada simpan ‘khazanah’ itu kerana anggap konon ia ibarat rezeki terpijak, namun tidak bagi seorang warga India, Retesh James Gupta, 37, yang tinggal lama di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bekas pekerja bank berpusat di Dubai itu dilaporkan akhbar tempatan Gulf News, sanggup bersikap jujur dengan pulangkan beg tersebut kepada pemiliknya di sebuah balai polis bandar raya tersebut.

Tindakan murni lelaki itu mengembalikan beg dipenuhi wang dollar Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$14,000 (RM58,000) dan perhiasan emas bernilai 200,000 dirham (RM225,000) amat dipuji polis.

Pengarah Balai Polis Al Qusais, Brigadier Yousef Abdullah Salim Al Adidi malahan tampil memberi sendiri sijil penghargaan khas pasukan tersebut sebagai tanda pengiktirafan sifat amanah Gupta.

Bagaimanapun ketika imbau pengalaman hari berkenaan, beliau bercerita bahawa pada mulanya mahu membiarkan beg itu dan tidak terlintas untuk memulangkan semula kepada tuan punyanya.

Apatah lagi, Gupta baru diberhentikan kerja seminggu sebelum itu, malah memikirkan untuk kembali ke kampung halaman di Kolkata kerana tidak mampu lagi sara keluarganya yang menetap di UAE.

“Pada hari itu, saya mengunjungi sebuah salon di Al Qusais dekat sebuah stesen tren bawah tanah, Metro dan selesai urusan di premis ini sekitar pukul 10.30 malam, saya temui sebuah beg,” jelasnya.

Ia seperti ditinggalkan seseorang di bonet keretanya dan beliau kemudian menunggu selama 30 minit jika pemiliknya datang semula, tetapi tiada sesiapa yang muncul untuk ambil balik beg berkenaan.

Gupta seterusnya buka beg tersebut dan amat terkejut apabila mendapati di dalamnya ada berisi wang tunai dollar AS selain pelbagai barangan hiasan daripada emas serta tiga naskhah pasport AS.

Beliau seterusnya bergegas masuk ke stesen Metro berhampiran untuk menyerahkan beg itu kepada anggota polis yang bertugas, namun kecewa tiada seorang pun di situ kerana hari telah lewat malam.

“Saya tidak tahu hubungi pemiliknya sebab tiada nombor telefon dalam beg ini dan terus menelefon isteri saya, Aparupa Ganguly, yang tinggal dengan anak lelaki kami berusia tiga tahun, Vivaan Aiden.”

Setelah bercerita apa yang berlaku, pasangan berkenaan teruja dapat ‘rezeki’ tidak disangka itu tetapi isterinya kemudian berpendapat, wang dan perhiasan ditemui tersebut bukannya hak mereka.

Bahkan isterinya dengan tegas berkata “Tuhan mungkin sedang uji iman kita dalam keadaan amat sukar ketika ini, maka lebih baik janganlah ‘gagal’ ujian itu dan pulangkan kepada si pemiliknya.”

Selepas berfikir sejenak, Gupta memandu keretanya menuju Balai Polis Al Qusais dan menyerahkan beg itu kepada pegawai bertugas di situ yang turut rakam keterangan dirinya berhubung kes tersebut.

“Saya ada terfikir bagaimana jika tuan punya beg itu mungkin dapati ada benda berharga yang hilang dan cuba tuduh saya curi, namun mujur saya syukur kepada Tuhan, isu ini tidak berlaku,” katanya.

Malah keesokan hari, Gupta terima panggilan daripada pemilik beg itu yang bernama Boby Hameed, seorang Bangladesh warganegara AS dan cukup ceria berterima kasih atas sikap kejujuran dirinya.

Dia memberitahu memang datang ke Dubai bersama ahli keluarganya untuk tujuan menziarahi ibu bapanya yang sudah lama tinggal di UAE sejak 45 tahun lalu sebelum mereka pulang semula ke AS.

“Saya tidak dapat jumpa Hameed tetapi beberapa hari kemudian, saya dapat tawaran kerja baharu dari sebuah bank. Saya percaya ini tentu balasan daripada Tuhan kerana bersifat amanah,” jelasnya.

Berita kejujuran Gupta turut tular dalam kalangan rakan-rakan dan keluarganya di India yang ucap tahniah, bahkan beliau gembira bekerja semula ketika ramai orang dibuang kerja pada ketika ini.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here