Hari Malaysia: Sukan kekal ejen perpaduan nasional – Zolkples

0
271
SKUAD negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 namun terpaksa memulaukannya atas arahan kerajaan.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KEJAYAAN skuad bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 pada 6 April 1980, wajar menjadi contoh terbaik bagaimana sukan mampu menjadi medium perpaduan nasional Malaysia.

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini 16 September, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, kehadiran para pemain yang berbilang bangsa ketika itu terbukti menghasilkan satu pencapaian yang luar biasa dan dikenang negara sampai bila-bila.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ini berkata, “berbeza dengan pencapaian pertama Malaysia ke Sukan Olimpik Munich 1972, pasukan ketika itu dianggotai lebih ramai pemain Melayu, Cina, India, Sikh malah sehingga dari Sabah.

“Kita ada Shukor Saleh, R. Arumugam, Hassan Sani, Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong. Sampai hari ini, kita sukar mendapat keanggotaan pasukan negara yang sebegitu ramai dalam menggambarkan wajah Malaysia,” katanya kepada BebasNews.

Sukan kata beliau, turut mampu dianggap talian hayat untuk mengukuhkan semangat kenegaraan dan patriotik ketika isu-isu lain besar negara yang berkisar kepada politik dan dibakar sentimen perkauman kerap mencipta jurang atau tembok pemisah.

ZOLKPLES EMBONG

“Kita juga menyaksikan kejayaan skuad hoki meraih tempat keempat Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur. Seperti pasukan bola sepak, inilah gambaran masyarakat majmuk dan semangat setiakawan Malaysia yang berjaya.

“Pasukan yang diketuai N. Sri Shanmuganathan ini mengandungi Khairuddin Zainal, Poon Fook Loke. Azraai Zain, Phang Poh Meng dan M. Mahendran serta ramai lagi daripada kaum Serani seperti Brian Sta Maria, Len Oliveiro, A. Francis,” katanya.

Tidak dilupakan ujar Zolkples ialah skuad juara Piala Thomas 1992 apabila gandingan Punch Gunalan sebagai ketua jurulatih, Rashid, Razif-Jalani Sidek, Foo Kok Keong dan Cheah Soon Kit mendapat sokongan padu seluruh rakyat berbilang bangsa di Stadium Negara, Kuala Lumpur yang menewaskan China dan Indonesia.

“Malah apabila Lee Chong Wei beraksi dalam tiga final Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016), sokongan rakyat Malaysia turut padu biarpun dia bermain dalam acara individu, begitu juga jika pemain bukan Cina yang mewakili Malaysia dalam kejohanan lain antarabangsa.

Sukan lain yang dulunya kerap dikatakan menjadi monopoli sesuatu kaum seperti sepak takraw milik Melayu dan bola keranjang yang dibolot Cina atau India bagi olahraga juga semakin menerima kehadiran pemain kaum selainnya.

“Skuad bola keranjang wanita kita yang menjuarai Sukan SEA 2015 dan 2017 mempunyai pemain bukan Cina seperti Nur Izzati Yaakob dan R. Kalaimathi. Skuad sepak takraw negara pun pernah ada C. Muniandy dan M. Subramaniam serta K. Saravanan,” katanya.

Namun yang menyedihkan kata Zolkples, perpaduan nasional menerusi sukan dengan contoh-contoh sejarah kejayaan itu tidak terus dipupuk daripada peringkat sekolah lagi untuk menyaksikan kesinambungan pasukan negara.

“Sebabnya sukan sekarang sudah tidak jadi kepentingan teras atau ‘core business’. Program seperti ‘Satu Murid, Satu Sukan’ ideanya sangat bagus tetapi pelaksanaannya?

“Disebabkan kekurangan bajet, kepakaran dan kemudahan dengan perancangan yang tergesa-gesa dalam memastikan kelestariannya, program itu akhirnya mati begitu sahaja,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here