Andi Bernadee penat dengan genre reggaeton?

0
176
Hari ini lagu Penat dendangan Andi Bernandee dilancarkan pada pukul 9 malam tadi.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM tempoh tiga tahun Andi Bernadee, 29, membabitkan diri dalam bidang seni suara, beliau lebih dikenali sebagai penyanyi yang sinonim dengan genre reggaeton.

Lagu berentak reggaeton dendangannya yang menjadi siualan ramai adalah Satu Peluang, Donde dan Shimmy.

Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi irama reggaeton saja, Andi cuba menampilkan kelainan dalam kerjaya seni dengan menampilkan irama balada menerusi single Penat.

Irama balada juga bukan sesuatu yang baharu bagi Andi kerana kali pertama beliau merakam lagu pada 2017, irama inilah yang menjadi pilihan beliau menerusi lagu Tiada lagi Maaf.

Antara babak yang terdapat dalam video muzik Penat, dendangan Andi Bernadee.

Penat, merupakan ciptaan Andi bersama komposer Nur Iman dan Efry Arwis. Berbeza lagu balada yang berada di pasaran muzik tempatan ketika ini, Penat cuba mengetengahkan rentak balada yang berbeza.

“Walaupun saya berjaya menempa nama melalui muzik reggaeton, namun kali ini saya nekad untuk mempertaruhkan lagu balada pula. Saya mahu keluar daripada zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik dalam karya saya.

“Memang ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada, namun karya kali ini mempamerkan jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan cita rasa muzik saya. Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun ianya berbeza daripada lagu-lagu hits saya sebelum ini.

“Lagu ini saya tuju khas buat para peminat yang setia menyokong saya selama ini. Saya tidak akan pernah penat menghasilkan karya-karya terbaik untuk mereka. Video muzik rasmi Penat juga merupakan antara video muzik yang memakan kos tertinggi pernah dihasilkan setakat ini,” jelasnya kepada pihak media.

Andi atau nama penuhnya, Andi Azrul Andi Mapangile berkata, lagu yang diberi susunan muzik melankolis ini mampu menjeruk rasa sesiapa yang mendengarnya.

Andi Bernadee dengan single baharu, Penat yang menampilkan genre balada.

Struktur lagu yang bermula minimalis dengan iringan piano dan gitar, kemudiannya diberi binaan dramatik sehingga ke penghujung lagu menjadikan lagu ini kedengaran sangat indah.

Turut menjadikan lagu ini sarat dengan emosi adalah penyampaian Andi yang penuh penghayatan dalam melantunkan bait-bait lirik lagu ini yang berkisar tentang perjuangan seseorang dalam mengharungi pahit manis kehidupan.

Single Penat hasil terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 16 September 2020 manakala video muzik rasmi Penat boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada hari yang sama.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here