Sapura Energy raih kontrak bernilai RM840 juta

0
628

KUALA LUMPUR — Kumpulan Sapura Energy telah memperoleh dua projek besar di Amerika Selatan serta kontrak penggerudian di Ivory Coast dengan gabungan nilai sebanyak RM840 juta, menjadikan jumlah projeknya setakat ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2021 kepada RM1 .6 bilion.

Penyedia penyelesaian minyak dan gas itu mendapat kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan untuk projek Amoca, Eni Mexico S de R L de CV, di kawasan Blok 1 luar pesisir Mexico, melalui anak syarikat milik penuhnya, Sapura Energy Mexicana SAPI de CV.

“Skop kontrak kerja itu merangkumi pengangkutan dan pemasangan Platform Amoca, kerja-kerja saluran paip dan dasar laut menghubungkan platform Amoca dan Mizton serta kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO),” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada suku keempat tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari, 2022.

Sementara itu, hubungan yang sudah lama terjalin antara Sapura Energy dengan syarikat minyak nasional Brazil, Petroleo Brasileiro SA (Petrobras) adalah faktor kepada lanjutan kontrak penyewaan kapal dan perkhidmatan Navegacao Maritima SA (SNM) yang dimiliki 50 peratus oleh Sapura.

Skop kerja itu meliputi penyediaan perkhidmatan dan sewaan untuk pemasangan dan pemulihan paip fleksibel dengan menggunakan kapal sokongan pemasangan paip (PLSV), Sapura Esmeralda di perairan Brazil.

“Kontrak sedia ada dijangka selesai pada April, 2021 dan lanjutan kontrak 12 bulan itu akan berkuat kuasa serta merta selepas tempoh kontrak asal Sapura Esmeralda tamat,” katanya.

SNM dimiliki sepenuhnya oleh Seabras Sapura Participacoes SA, usaha sama antara Sapura Offshore Sdn Bhd dan anak syarikat Seadrill Ltd.

Dalam pada itu, Sapura Energy, antara pemilik pelantar penggerudian terkemuka di dunia, sekali lagi menjalankan operasinya di Ivory Coast selepas anak syarikat milik penuhnya, Sapura Drilling Holdings Ltd meraih kontrak daripada Foxtrot International LDC untuk menyediakan perkhidmatan menerusi penyediaan pelantar penggerudian Sapura Berani.

Syarikat itu berkata ia akan menyediakan perkhidmatan pelantar penggerudian untuk tiga telaga di luar persisiran Ivory Coast mulai suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2022, termasuk tambahan satu telaga sebagai pilihan.

“Menerusi kontrak ini, Sapura Energy akan mempunyai dua pelantar yang beroperasi di benua Afrika. Pelantar penggerudian ‘semi-submersible tender assisted’ Sapura Energy ketika ini beroperasi di luar persisiran Angola,” katanya.

Ia berkata cabang penggerudian Sapura Energy menyediakan perkhidmatan yang sama untuk kempen penerokaan penggerudian Foxtrot International LDC di Ivory Coast dari tahun 2015 hingga 2016.

— BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here