Cef Anis kongsi resipi menu kegemaran

0
612
Cef Anis Nabilah bersama buku masakannya yang mengandungi 25 resipi masakan kegemarannya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERSUNGGUH Cef Anis Nabilah Umaruddin mempromosi produk perkakas dapur jenama Thermomix kepada rakyat Malaysia. Siap buat buku masakan yang memuatkan 25 resipi ciptaannya iaitu Comfort Food for Thermomix.

Antara resipi yang terdapat dalam buku masakan itu adalah lasagna murtabak, ayam ros, sup kupang safron, sup vegan labu kubis bunga berempah, rendang daging, gulai udang dengan nangka, stew daging kambing dengan ubi keledek dan kurma, puding trifle strawberi panggang dan kek keju madu.

Menurut Anis, 34, semua resipi yang dikongsi dalam buku tersebut merupakan hidangan kegemarannya. Jangan risau, katanya, semua itu boleh dimasak dengan mudah dan cepat apabila menggunakan Thermomix.

“Sangat menakjubkan kerana apa saja hidangan yang rumit untuk disediakan kini menjadi lebih mudah dan cepat. Sesiapa sahaja boleh memasak jika menggunakan Thermomix.

“Saya kata begitu bukan sebab saya cef. Beberapa kawan saya yang sebelum ini tidak pandai memasak, sekarang ini sudah pandai menyediakan hidangan untuk keluarga. Tiada lagi makanan tempahan dari luar,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran buku masakannya baru-baru ini.

Anis Nabilah bersama Pengarah Serantau Thermomix Malaysia, Jenny Ooi pada hari pelancaran buku masakannya.

Anis yang bekerjasama dengan jenama perkakas dapur pelbagai fungsi itu turut mengejutkan hadirin dengan memberitahu bahawa beliau bukanlah duta produk tersebut.

Kalau bukan duta, kenapa beria-ia sangat Anis yang merupakan cef selebriti itu mempromosi produk dari Jerman itu.

“Saya bukan duta Thermomix, cuma saya bekerjasama dengan mereka untuk terbitkan buku resipi makanan sihat. Bagi saya bukan pasal menjadi duta atau apa, yang penting kita percaya dengan produk itu atau tidak.

“Walaupun saya bukan dutanya tapi saya masih menjual sebab saya percaya dengan produk ini. Thermomix adalah sesuatu yang dapat membantu orang yang takut memasak. Sebab itu saya tampil dengan resipi yang orang kata leceh tapi boleh dimasak dengan mudah apabila menggunakanThermomix,” jelasnya yang memegang tagline, masak itu mudah dan menyeronokkan.

Anis yang memulakan karier sebagai cef pada 2017 berkata, matlamat utamanya menghasilkan buku masakan adalah untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai.

Beliau yang gemar memasak sejak kecil mengakui apabila rasa tertekan atau sedih, memasak adalah ubatnya.

“Dari kecil saya memang suka memasak, perkara itu buat saya gembira. Kalau saya sedang stres, saya masak, kalau sedih, saya masak, benda itu akan menaikkan semangat saya. Saya mahu kongsi itu dengan orang ramai.

Ayam masak ros antara menu yang dikongsi oleh Anis Nabilah dalam buku masakannya.

“Saya bukan nak kejar populariti, alhamdulillah kalau saya menjadi popular bolehlah saya mengajar lebih ramai orang lagi. Tapi itu bukan niat utama saya. Niat saya adalah untuk ajar orang. Kalau orang dapat resipi saya tapi tak nak follow saya tak apa kerana saya dapat mengajar orang.

“Bila saya dapat ajar orang masak, mereka balik rumah dan memasak untuk keluarga, insya-Allah saya dapat pahala. Amalan yang kita buat itu lebih penting,” katanya tersenyum.

Anis yang telah mengendali dan muncul dalam pelbagai program masakan tempatan dan antarabangsa seperti Icip Icip di saluran Asian Food Channel atau Asian Food Network itu turut tidak lepas daripada kecaman netizen.

Anis Nabilah mahu lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan masakan sebagai hobi kerana secara tak langsung dapat memperkenalkan menu tempatan.

“Apa-apa benda yang saya ajar orang, saya akan pastikan saya faham tentang perkara itu. Saya tak ambil kisah walaupun ada orang komen tentang resipi yang saya kongsi. Saya tak ambil hati kerana itu semua subjektif. Saya tak faham dengan orang-orang begini yang sengaja nak sakitkan hati orang lain.

“Sekarang saya tengok ramai yang memasak. Apa sinonim kalau sebut Malaysia? Mestilah bab makanan. Sebelum ini tidak ada ramai orang yang berkongsi tentang menu masakan kita amat menyedihkan. Sekarang ini ramai yang berkongsi resipi, bagi saya satu perkembangan yang bagus. Saya tak rasa tercabar sebab setiap orang ada keistimewaan sendiri,” katanya yang sering bersikap positif.

Tambahnya, bagi yang baru belajar memasak jangan cepat putus asa kerana dengan menggunakan Thermomix, semua kerja menjadi mudah.

Selain memasak, Thermomix boleh menimbang, memotong, mengisar, menguli, mengukus dan mencuci secara kendiri kerana ia mempunyai 22 fungsi (yang akan terus ditambah apabila perisian dikemaskinikan secara automatik).

“Saya menggalakkan orang ramai memiliki Thermomix kerana ia benar-benar memudahkan kerja anda. Terdapat pelbagai resipi yang boleh diakses dan insya-Allah yang tak pandai memasak pun boleh menjadi cef dengan bantuan mesin ini,” katanya.

 -BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here