Biarlah Syed Saddiq dengan agendanya

0
412

Oleh Arrazaq Nazri

BARU-BARU ini Parti Ikatan Demokratik Malaysia yang didukung oleh orang muda telah ditubuhkan. Nama singkatan pun MUDA atau Malaysian United Democratic Alliance.
Biarpun bunyinya seperti parti orang muda, pengasas parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, walaupun ditunjangi orang muda, parti itu tidak menetapkan had umur untuk sesiapa menyertainya.

Sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq pernah bergelumang dengan agenda orang muda. Sudah pasti dia tahu apa yang hendak beliau perjuangkan.
Soal sama ada orang muda boleh memimpin atau tidak bukanlah isu besar pun, ini kerana pemimpin yang berstatus veteran hari ini dulunya pernah muda.

Ramai yang menjadi pemimpin bukan hasil pendidikan di sekolah atau di universiti tetapi pengalaman diperoleh daripada mereka yang terdahulu.

Gabungan pendidikan tinggi dan pengalaman sepak terajang orang lama dalam politik mampu melahirkan ahli politik yang baik.

Apabila Syed Saddiq menubuhkan MUDA, beberapa pemimpin ‘muda’ merasakan parti-parti berpengalaman juga perlu meremajakan parti mereka.

Jika begitu, tidak lagi perlu sayap orang muda dalam parti seperti Pergerakan Pemuda UMNO, Pemuda Pas mahupun Pemuda MCA dan Pemuda MIC.

Memang benar, parti yang ada sekarang perlu diremajakan. Begitu juga dengan UMNO dan PAS. Barangkali pemimpin seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Asyraf Wajdi Dasuki boleh diangkat sebaris dengan Naib Presiden UMNO.

Mungkin idea ini dianggap gila tetapi dalam alaf baharu tiada yang mustahil. Apa yang berlaku sekarang pun banyak yang dianggap gila sebelumnya.

Contohnya, jika satu ketika dahulu, pemimpin Putra, Datuk Ibrahim Ali dikutuk kerana melompat dari UMNO dan menyokong Pas, sekarang ini ramai pemimpin sana-sini.
Sempena penubuhan MUDA ini, marilah kita buka minda dan hati daripada memandang sinis terhadap pemimpin seperti Syed Saddiq yang ingin mengubah negara setelah 22 bulan pengalaman menjadi menteri di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Lagi pun, nama MUDA sebagai gerakan politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukanlah pelik.

Kita pernah menyaksikan nama sama digunakan untuk pertubuhan yang digerakkan bagi perjuangan bangsa seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang ditubuhkan zaman penjajah dahulu.

Bahkan terbaharu terdapat, sebuah NGO ataupun pertubuhan berbau politik, Pemuda Negara sedang mencuri tumpuan pemerhati politik, kini bergerak secara diam-diam tanpa mencetuskan sebarang perhatian ramai.

Biarlah apa pun partinya dan muda atau tua pemimpinnya, mungkin ia budaya baharu masa kini. Apa yang penting lahirnya parti yang benar-benar berjuang demi rakyat dan negara, bukannya tembolok sendiri.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here