Lebih 700 semut api ‘cerobohi’ Jepun

0
503
FOTO: Wikimedia Commons/Azim Khan Ronnie / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

Oleh AMREE AHMAD

SEKALI pandang berita sebegini mungkin dianggap lucu, tetapi bagi rakyat Jepun, penularan berita kemunculan semut api asing di negara itu mencetus suasana panik seperti mana juga isu wabak Covid-19.

Justeru, apabila Kementerian Alam Sekitar pada 17 September lalu melaporkan lebih 700 ekor semut api dikesan di Nagoya, kota ketiga terbesar di Jepun, rakyat negara itu mula cemas.

Namun kecemasan itu menjadi reda apabila pihak berkuasa bandar raya dengan 10 juta penduduk itu mendapati koloni baharu serangga tersebut tiada ratu atau induk semut.
Malahan, kesemuanya hanya semut jenis pekerja serta ditemui di rekahan laluan pejalan kaki dan beberapa lubang tanah kecil di sebuah kawasan pelabuhan Nagoya.

Berdasarkan laporan media tempatan belum ada lagi laporan kecedaran dalam kalangan manusia akibat digigit serangga berkenaan meskipun jumlah yang ditemui amatlah besar.
Menariknya, pihak kementerian itu percaya bahawa semut api ini bukannya lahir daripada ratu, tetapi mereka datang berasingan menerusi sebuah kapal dagang dari luar negara yang singgah di Jepun.

Pemeriksaan susulan di semua kapal yang berlabuh di Nagoya juga mengesahkan tiada ratu semut api dan kerja-kerja pemusnahan serangga tersebut giat dilakukan pasukan kawalan haiwan perosak.

Hakikatnya, ini bukan julung kali semut api (dinamakan berdasarkan warna merah seperti pada tubuhnya) jadi tajuk berita besar pihak media negara matahari terbit itu kerana ia pernah dikesan pada Jun 2017 sebelum merebak ke 15 wilayah.

Maka, apabila kes pertama dilapor di pelabuhan ibu negaranya, Tokyo lebih tiga tahun lepas; rakyat Jepun pada masa itu memanglah patut berasa ‘gelabah’ kerana serangga tersebut ‘diimport’ dari luar iaitu rantau Amerika Selatan!

Ia boleh menjejaskan sistem ekologi negara itu jika tidak dikawal.

Portal berita Nikkei pernah melaporkan pada Ogos 2017, lebih 600 ekor semut api telah dijumpai di pelabuhan Shimizu, wilayah Shizuoka dipercayai seludup masuk dari sebuah kapal asing.

Pihak berkuasa telah melancarkan operasi pemusnahan secara besar-besaran, tetapi namun sekitar Ogos 2018, sejumlah 10 ekor lagi semut api yang terselamat ditemui ‘berkeliaran’ di pelabuhan itu.

Sebulan kemudiannya, pihak berkuasa pelabuhan Tokyo dilaporkan Nikkei, terkejut apabila temui lebih 50 ekor ratu semut api dengan koloni mereka dalam kawasan terminal kargo antarabangsa.

Berita itu mengakibatkan kerajaan metropolitan Tokyo terpaksa mengadakan kempen pemeriksaan skala besar dan hasilnya menjelang akhir November 2019, lebih 500 ekor semut api dapat dimusnahkan.

Pada masa sama, Kementerian Alam Sekitar juga melakukan dua kali ‘proses pemutihan’ di semua 65 pelabuhan seluruh Jepun selain didik ribuan murid tadika di kawasan berhampiran bagi belajar kenali semut api.

Petugas juga dikerah sentiasa memeriksa taman permainan di institusi prasekolah terbabit secara berkala serta beri amaran kepada kanak-kanak agar tidak sentuh serangga itu jika terserempak.

Begitulah cara disiplin tinggi masyarakat Jepun gigih urus isu semut api, walhal punca asal daripada kapal dagang luar negara yang ‘kotor.

Benar sekali kata-kata, mencegah lebih baik dari berubat, Jepun belajar kesilapan banyak negara yang tidak serius dalam tangani isu semut api sehingga serangga itu ‘bermaharajalela’ ancam manusia tidak berdosa.

Antaranya Amerika Syarikat terpaksa tanggung kerugian lebih AS$5.5 bilion (RM22.6 bilion) setahun untuk kos perubatan, kerosakan alam sekitar dan ekonomi akibat tidak cakna perihal semut api.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here