Kemarahan di Pakistan: Polis salahkan ibu dirogol berkumpulan di depan anak-anak

0
610
FOTO: Pacific Press

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KEMARAHAN memuncak di Pakistan susulan kes seorang ibu dirogol secara berkumpulan di depan anak-anaknya.

Bagaimana pun, di negara di mana keganasan terhadap wanita kerap berlaku mengapa kali ini orang ramai keluar ke jalan raya untuk memprotes dan mendesak supaya dilakukan perubahan?

Dalam keadaan biasa di Pakistan kaum wanita sentiasa dinasihati oleh anggota keluarga dan saudara mara supaya jangan keluar lewat malam, atau sekurang-kurangnya memastikan ditemani oleh lelaki demi keselamatan, lapor bbc.com.

Tetapi bagi pihak polis persepsinya amat berbeza dan payah diterima akal kerana mereka sentiasa menyalahkan pihak wanita kerana keluar malam sendirian.

Persepsi demikian telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Pendirian polis kini dipersoalkan.

Menurut Moneeza Ahmad yang merupakan seorang aktivis kebebasan wanita persepsi yang  menyalahkan mangsa, selain menilai keperibadian seseorang wanita sebagai penyebab berlakunya rogol terlalu tertanam dalam minda masyarakat di Pakistan.

Setelah lama terpendam kemarahan awam kini meledak, justeru menonjolkan perasaan sebenar rakyat Pakistan terhadap pandangan yang begitu pincang itu.

Dalam kes terbaharu ini wanita tersebut kehabisan minyak pada pukul 3.00 pagi ketika dalam perjalanan menuju ke bandar raya Lahore bersama dua anak kecilnya.

Setelah menelefon keluarganya di Gujranwala, mereka menasihatkan dia supaya menghubungi nombor kecemasan pasukan bantuan lebuh raya sementara menantikan ketibaan mereka ke lokasi untuk membantu.

Sejurus kemudian dua lelaki telah memecah masuk ke kereta lalu merompak wanita tersebut dan seterusnya merogolnya secara bergilir-gilir di depan kedua-dua anaknya sebelum melarikan diri.

Pada keesokan harinya seorang pegawai tinggi polis di Lahore, Umer Sheikh memberitahu media bahawa mangsa perlu dipersalahkan dalam kes tersebut. Beliau mempersoalkan mengapa dia tidak menggunakan jalan raya yang lebih sibuk memandangkan dia membawa bersama dua anak kecilnya dan kenapa dia tidak memastikan minyak mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Susulan penjelasan oleh pegawai polis itu Pakistan digegarkan oleh kecaman daripada hampir seluruh lapisan masyarakat yang berasa muak dengan alasan sebegitu oleh pihak berkuasa.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here