Sukma 2020 ditunda lagi, ke April 2021

0
459

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SUKAN Malaysia (Sukma) Ke-20 ditunda lagi, kali ini ditetapkan pada April 2021 pula, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Temasya dwitahunan yang akan kekal disebut sebagai Sukma 2020 ini asalnya dijadualkan dari 11 hingga 19 Julai lalu tetapi pada April lalu, diumumkan ditunda kali pertama, ke 6 hingga 14 Mac 2021 gara-gara kebimbangan kepada penularan pandemik maut Covid-19.

Penjadualan baharu Sukma 2020 itu diputuskan selepas beliau
mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Bangunan Datuk Jafaar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru, Johor, hari ini.

“Setelah meneliti pelbagai perkara yang dibentangkan Sekretariat Sukma Ke-20, Johor 2020 dan dalam perbincangan bersama semua ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukma, temasya ini akan dilangsungkan April 2021 dan Para Sukma pada Mac 2021,” katanya.

Namun jelasnya, Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan mengadakan mesyuarat terakhir bagi mencapai penentuan tarikh penganjuran temasya ke-20 ini secara muktamad pada Disember ini.

Lapor laman itu, “turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan ahli-ahli Exco Belia dan Sukan Negeri dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk M. Noor Azman Taib.

REEZAL Merican Naina Merican (baju oren) mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Bangunan Datuk Jafaar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru, Johor. – Foto FB Reezal Merican

“Lain-lain termasuk Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Pengarah-pengarah Majlis Sukan Negeri,” katanya.
Kali pertama Johor menjadi tuan rumah Sukma ialah pada 1992 dalam edisi keempat dengan mengumpul 26 pingat emas, 21 pingat perak dan 22 pingat gangsa untuk muncul naib juara di belakang Sarawak.

Terengganu merupakan juara bertahan keseluruhan apabila merangkul 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa dalam Sukma 2018 di Perak.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here