Berhenti hentam SPRM, salahkan orang Cina tak faham bahasa Melayu – Prof Teo

    0
    916

    KUALA LUMPUR – Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan portal bahasa Mandarin tidak salah di sisi undang-undang kerana ia tertakluk dalam Seksyen 3, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, tegas Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

    Di bawah Seksyen 3 itu menyebut tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

    Berikutan itu, Teo meminta semua pihak terutama pemimpin-pemimpin politik berhenti menghentam SPRM kerana suruhanjaya itu tidak membuat sebarang kesalahan dengan mewujudkan portal berkenaan.

    Menurutnya, sebagai sebuah badan-badan undang-undang negara, sudah tentu SPRM sudah mengkaji baik atau buruknya kewujudan portal ini.

    Lagipun, bagi SPRM matlamat utamanya adalah memastikan setiap maklumat dan mesej penting sampai kepada semua pihak sudah dilaksanakan, walaupun tindakannya nampak tidak kena.

    Sewajarnya, kata beliau, orang-orang politik yang sepatutnya melihat dan menilai semula mengapa berlaku kegagalan orang Cina memahami bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa negara Malaysia.

    “Lihat semua apa kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan selama ini hingga menyebabkan bahasa Melayu tidak menjadi bahasa negara bangsa.

    “Apa yang telah berlaku dalam sistem pendidikan, apakah langkah-langkah penegasan ke atas rakyat agar kebolehan berbahasa dan memahami bahasa Melayu itu suatu yang wajib seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

    “Paling penting, tanya dengan orang Cina kenapa masih gagal berbahasa dan memahami bahasa Melayu walaupun memiliki kerakyatan Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi berhubung langkah SPRM mewujudkan portal SPRM berbahasa Mandarin yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat.

    Teo menyifatkan isu ini bukan perkara baharu kerana pada tahun 2010, Program Latihan Khidmat Negara telah membuat kaji selidik ke atas 13,925 orang responden dan mendapati 609 orang pelatih tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

    Kebanyakan mereka ini mendapat pendidikan dari sekolah Cina atau tidak meneruskan pendidikan di sekolah menengah.

    “Inilah bukti kegagalan sekolah vernakular yang jelas tetapi tidak pernah hendak diakui oleh mana-mana pemimpin Cina pun.

    “Logiklah, tidak faham bahasa Melayu kalau di sekolah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Cina,” ujarnya lagi.

    Teo berkata, perkembangan ini sangat memalukan kerana pekerja asing dari Bangladesh, Nepal dan pelarian Rohingya pun boleh menguasai bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan berada di negara ini.

    “Sudah 57 tahun pembentukan Malaysia dan 63 tahun mencapai kemerdekaan namun masih ada rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu, ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya dengan nada kecewa.

    Berikutan itu, katanya, menjadi tanggungjawab besar kerajaan untuk melihat semula keadaan ini walaupun ia adalah isu sensitif bagi seluruh rakyat.

    “Sama ada untuk memperbetulkan, memperbaiki atau apa sahaja ayat atau perkataan yang sesuai…kerana dalam keadaan sekarang ini pun masih ada pihak yang mempertahankan kewujudan sekolah vernakular, sehingga tidak segan-segan mahu menambahnya,” ujar Teo.

    – Baca lagi: https://malaysiagazette.com/2020/09/20/berhenti-hentam-sprm-salahkan-orang-cina-tak-faham-bahasa-melayu-prof-teo/
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here