Malaysia tiada kedutaan di ibu negara baharu Mesir?

0
864

Oleh AMREE AHMAD

KAHERAH – Kerajaan Malaysia setakat ini antara yang belum pindah pejabat wakil diplomatiknya di Kaherah ke ibu negara baharu Mesir yang turut dirujuk sebagai New Administrative Capital (NAC).

Berita ini dilaporkan meluas pelbagai media di Mesir yang menyiarkan senarai nama negara sudah mengesahkan pendirian rasmi kerajaan mereka untuk beralih ke NAC dari tapak ibu kota sedia ada.

Setakat ini, sejumlah 30 buah negara telah pun memiliki tanah untuk kerja pembinaan kedutaan di NAC sama ada secara pembelian baharu atau pertukaran lot dengan bangunan canseri di Kaherah.

Antaranya ialah Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Nigeria manakala lebih 60 buah negara sudah menyatakan hasrat perolehan tanah di NAC bagi tujuan sama.

Ini termasuk Argentina, Brazil, China, India, Jepun, Korea Selatan, Maghribi, Mexico, Gabon, Kuwait dan Kazakhstan, di samping pelbagai institusi perbankan asing dan organisasi taraf antarabangsa.

Kaherah pada masa ini ada 139 kedutaan, namun Pengerusi Pembangunan Urban NAC, Ahmed Zaki Abdeen dilapor akhbar tempatan, berharap semua misi asing itu dapat berpindah ke ibu kota baharu.

Beliau bagaimanapun tidak tetap tempoh masa akhir kerana jangka ada negara mungkin keberatan berbuat demikian atas faktor kekangan kewangan dan tiada keperluan agak penting pada ketika ini.

Kedutaan Malaysia di Kaherah terletak di No.21, El Aanab Street, Daerah Mohandessine Giza yang beroperasi sejak 1960 dan turut menjadi pejabat perwakilan rasmi negara untuk jirannya, Palestin.

Bangunan canseri itu dibuka di situ sejak tahun 2000 lalu kerana sebelumnya kedutaan Malaysia di Mesir sudah tiga kali berpindah lokasi bermula di El Masahah Square, Dokki dari 1960 hingga 1974.

Kemudian bertukar pula kepada alamat No.7, Wadi El Nil Street, Mohandissine dari 1974 hingga 1994 lalu dan seterusnya beroperasi di No.29, Taha Hussein Street, Zamalek dari 1994 hingga 2000.

Difahamkan, lokasi kedutaan itu di tempat sekarang agak strategik kerana terletak cuma kira-kira 30 kilometer daripada Universiti Al Azhar yang menempatkan puluhan ribu penuntut Malaysia sendiri.

Ia juga berdekatan dengan lebih sedozen pejabat pelbagai agensi Malaysia antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun, pemindahan kedutaan mungkin berlaku kerana bangunan sekarang uzur berusia 20 tahun, seperti di Myanmar apabila Malaysia setuju berpindah dari Yangon ke ibu kota baharu, Naypyidaw.

Kerajaan Mesir malahan dilaporkan tawar pelbagai fasiliti canggih untuk pemindahan canseri ke NAC di zon diplomatik seluas 607 hektar dengan harga hanya 6,200 pound (RM1,645) satu meter persegi.

NAC yang bakal dinamakan sebagai Wedian; perkataan jamak dalam bahasa Arab dan bermaksud lembah, terletak cuma 45 kilometer dari timur Kaherah dengan keluasannya 700 kilometer persegi.

Dengan kos 707 bilion pound (RM185 bilion), ia bakal dihuni tujuh juta penduduk berbanding ibu kota sedia ada hampir 20 juta orang, serta dirancang rapi sebagai bandar pintar bertaraf antarabangsa.

Selain parlimen, istana presiden dan semua kementerian, NAC juga mengandungi lebih 1,000 masjid selain 2,000 institusi pendidikan, ratusan buah hospital, taman awam dan tasik buatan manusia.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here