Bekas atlet bagaikan ‘jatuh di timpa tangga’

0
365
Datuk Shahbudin Monil bertanya khabar Mohamad Izhar di bengkel membaiki kerusi roda di rumahnya di Johan Setia di Klang.

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG —Bekas atlet paralimpik negara bagi acara memanah,Mohamad Izhar Abdul Saidon, 58, begitu terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 hingga terpaksa menutup kilang Industri Kecil Sederhana (IKS) yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Mohamad Izhar yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kudung kedua kaki, beliau yang mengusahakan perusahaan berasaskan kacang soya sedih kerana terpaksa menutup operasi dan memberhentikan kesemua pekerja.

“Buat masa ini saya mengambil upah memperbaiki dan menaiktaraf kerusi roda dengan kerjasama kawan mencari pelanggan. Inilah yang saya lakukan untuk mencari nafkah menanggung keluarga.

“Anak-anak lima orang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun, ada yang baru habis belajar dan bekerja untuk menampung kehidupan mereka,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Program Lawatan Prihatin Pengerusi Pertubuhan Dalam Komuniti Bandar Botani, Datuk Shahbudin Monil.

Izhar berkata, beliau juga menjual air minuman cedok di Pasar Tani Stadium Shah Alam namun perniagaan tersebut semakin kurang pulangan atas beberapa faktor.

Beliau yang pernah mewakili negara ke Sukan Paralimpik Australia pada tahun 2000 dan Athens 2004 berkata, beliau berharap ada mana-mana agensi kerajaan, syarikat korporat dan individu untuk membantunya menambah modal untuk mencari rezeki.

“Sebagai OKU saya bukannya ingin meminta-minta tetapi selepas PKP fasa pertama semua simpanan telah habis untuk membayar hutang, sewa kilang dan gaji pekerja. Nasib baik saya sudah melangsaikan gaji semua pekerja.

“Walaupun saya hanya ada dua kerat tulang dan berkerusi roda untuk bergerak, saya bukannya ingin disanjung sebagai bekas atlet paralimpik tetapi sekadar ingin berusaha sendiri. Dalam usia begini saya hanya mampu setakat yang terdaya,”katanya.

Mengulas mengenai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), beliau berkata terserah kepada pihak tersebut untuk melihat sama ada masalah beliau wajar atau tidak dibantu akibat PKP.

Sementara itu Shahbudin berkata, beliau akan membantu Mohamad Izhar dengan menyediakan ruangan kedai untuk beroperasi serta menyediakan peluang perniagaan membaiki kerusi roda.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here