Rezeki PKP The Melvins

0
719
Empat beradik yang menggelar diri mereka The Melvins melancarkan produk maskara, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SEWAKTU penubuhan awal The Melvins Resources Sdn. Bhd., pada 1 Mei 2019, empat orang pengasas syarikat tersebut berdebar dan takut tidak ada orang yang akan membeli produk keluaran mereka.

Empat usahawan muda itu ialah Siti Nur Syafiqa, 31, Siti Nur Syatilla, 29, Nur Syifa Athirah, 26, dan Nur Syifa Assyidda, 23, yang merupakan adik-beradik dan anak kepada pasangan Amirol Mevlin dan Robiah Rahman.

Menurut Siti Nur Syafiqa atau mesra dengan panggilan Kak Long dalam kalangan adik-beradiknya berkata, berkat usaha gigih masing-masing, produk pertama keluaran syarikat mereka iaitu Lip Matte lipstik (matte bibir) mendapat sambutan di luar jangkaan.
Menggunakan jenama Kekasih by The Melvins sejak dilancarkan hingga kini matte bibir berjaya dijual sebanyak 900,000 batang. Selain matte bibir, jenama Kekasih juga mengeluarkan produk krim bedak asas, blusher dan terbaharu Hijab Mata Kekasih iaitu maskara.

Produk jenama Kekasih by The Melvins antara produk yang sedang hangat di pasaran ketika ini.

“Untuk memulakan perniagaan ini, setiap kami mengeluarkan modal RM10,000. Masa mula-mula buat, tertanya juga siapa nak sertai kami yang masih baharu ini. Alhamdulillah, kami tak sangka produk ini mendapat sambutan hangat daripada pengguna.

“Permintaan semakin melonjak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu itu ramai orang tak ada kerja dan mencari peluang pekerjaan. Dari situlah mereka sertai Kekasih. Alhamdulillah untuk Syawal saja, kita punya jualan RM2 juta sebulan, walaupun masih PKP,” kongsi Syafiqa.

Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran maskara Hijab Mata Kekasih dan 60 buah papan iklan (billboard) di Semenanjung Malaysia berkata, niat utama mereka adalah untuk membantu suri rumah menjana pendapatan menerusi produk keluaran jenama Kekasih.

Tambah juara rancangan realiti Gadis Melayu musim kedua di TV9, sejak beroperasi sehingga kini, terdapat 5,000 stokis termasuk ejen yang bekerjasama dengan mereka.

“Billboard itu dipasang untuk memudahkan ejen dan stokis menjual dan mendapat jualan. Papan iklan itu dipasang di sekitar Lembah Klang termasuklah di Jalan Duta, Sungai Buloh, Rawang, lebuhraya utara dan selatan serta di Lebuhraya Pantai Timur.

Syafiqa (kanan) dan Syidda berkongsi cerita tentang perjalanan syarikat mereka, The Melvins Resources Sdn. Bhd.

“Kami melabur kira-kira RM400,000 untuk 60 papan iklan. Bila ada produk utama iaitu maskara, ejen dan stokis boleh gandakan jualan mereka. Untuk tempoh tahun ini kita sasar keuntungan RM10 juta.  Sebelum ini kita berjaya mencapai sasaran keuntungan sebanyak RM11 juta sejak awal operasi hingga kini,” jelas Syafiqa.

Tambahnya, setiap seorang daripada mereka mempunyai tanggungjawab tersendiri. Syatilla ditugaskan untuk bahagian pemasaran, Syidda menguruskan akuan, Syifa mengendali jabatan sumber manusia dan beliau sendiri mengetuai bahagian operasi.

Malah kata Syafiqa, sebaik saja memulakan perniagaan, mereka terus berguru untuk belajar selok-belok pemasaran dan pengurusan untuk memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Bukan kami saja yang mengikuti kelas, kami turut menyediakan kelas bimbingan untuk stokis dan ejen supaya mereka tak terkapai-kapai dalam mengurus perniagaan.

Maskara merupakan produk baharu yang dilancarkan dan ada lagi dua produk yang bakal temui pelanggan tidak lama lagi.

“Kami bukan setakat membantu menyediakan kelas bimbingan atas talian setiap minggu, kami juga akan pergi ke setiap negeri untuk bertemu stokis dan ejen kerana kami tak mahu ada jarak antara  mereka dengan pengasas,” katanya yang turut menggalakan stokis dan ejen membayar zakat setiap bulan seperti yang mereka lakukan.

Sementara itu, Syidda memberitahu, produk mereka mendapat sambutan hangat kerana jenama Kekasih mempunyai trademark tersendiri.
Antaranya, mereka merupakan syarikat adik-beradik yang kerap mengeluarkan produk edisi terhad dan berkualiti.

“Kekuatan jualan Kekasih disebabkan kualiti, kami mendapat maklum balas yang lip matte Kekasih sama dengan jenama antarabangsa yang ada di pasaran tempatan.

“Kedua, kita ada kelebihan dari segi pengikut dan juga pemasaran kerana kita tak kedekut untuk mengeluarkan modal bagi membantu  ejen dan stokis.

“Ketiga, biarpun orang kata kenapa perlu keluarkan edisi terhad kerana itu perlukan kos dan banyak kerja tapi itulah yang memberi keuntungan kepada kami. Kebanyakan pengguna kami adalah mereka yang suka mengumpul. Bila kita keluarkan edisi terhad, mereka akan kumpul setiap edisi berlainan,” jelas Syidda, ibu kepada seorang anak itu.

Biarpun sudah layak digelar jutawan, Syidda dan adik-beradik yang lain tetap merendah diri kerana objektif utama mereka menceburi bidang perniagaan adalah untuk membantu orang lain.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here