Jenazah bekas MB Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar selamat dikebumikan di Shah Alam

0
379
FOTO: NSTP.

SHAH ALAM — Jenazah bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, kira-kira pada 3 petang.

Jenazah Allahyarham Wan Mokhtar sebelum itu disolatkan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini selepas solat zohor, diimamkan sendiri oleh anaknya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Terengganu Wan Abdul Hakim, disertai kira-kira 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal antara jemaah.

Terdahulu di masjid berkenaan, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menziarahi jenazah sementara di tanah perkuburan, kelihatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Wan Mokhtar, 88, meninggal dunia pada 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu berkhidmat sebagai Menteri Besar negeri itu selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999.

Sementara itu, Wan Abdul Hakim, 52, yang juga anak keempat Allahyarham memberitahu ayahnya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Sabtu lepas apabila melihat keadaan kesihatannya agak merosot.

“Jantung arwah ayah sebelum ini hanya mampu berfungsi sekitar 20 peratus saja, dan apabila kami melihat kesihatannya agak mula merosot, kami hantar arwah ke hospital untuk rawatan.

“Pemergiannya mudah, dalam tidur. Kami bersyukur proses kebumi semua lancar,” katanya yang turut memberitahu Allahyarham meninggalkan lima anak dan 20 cucu.

Dalam pada itu, Rosol ketika ditemui pemberita menyifatkan pemergian Wan Mokhtar sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Terengganu memandangkan arwah menabur banyak jasa sepanjang menjadi menteri besar negeri itu.

“Arwah seorang yang amat rendah diri, mudah berbicara dan suka memberi nasihat terutama kepada orang muda. Banyak pembangunan di Terengganu antaranya jalan raya diturap tar dan kecemerlangan pendidikan merupakan ‘air tangan’ arwah.

“Arwah jugalah individu yang membawa saya ‘masuk’ ke dunia politik dan membimbing saya. Jasanya terlalu besar dan tak terbalas oleh saya. Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga arwah,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here