Setelah 10 tahun: Kini AlHijrah mampu duduk dan berdiri dengan stesen TV lain – Namanzee Harris

0
576
“Boss...Mama Kirim Salam” ketika menjalani penggambaran tahun lalu dan melibatkan pelakon tambahan dan krew penerbitan kakitangan TV AlHijrah sendiri.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA menyebut nama TV AlHijrah, sudah tergambar di minda kita satu-satunya stesen televisyen patuh syariah yang begitu ketat membina benteng yang eksklusif seolah-olah ia hanya untuk ahli dan para akademik agama sahaja.

Pendekatan mereka kepada agama dengan menerapkan nilai-nilai murni membuatkan ramai penerbit yang ‘berhati-hati’ untuk mendekatinya kerana bimbang tidak patuh syariah.

Namun begitu, mereka tidak pernah goyah walaupun harus bersaing dengan stesen TV arus perdana yang menawarkan pelbagai rancangan hiburan termasuk yang ‘diimport’ dari luar negara untuk masyarakat hari ini, kerana mereka berpegang teguh kepada asas ianya ditubuhkan dan dilancarkan pada 1 Muharram 1432.

Memang tidak dinafikan bersandarkan patuh syariah tidak mudah AlHijrah untuk menyaingi stesen TV arus perdana yang mengutamakan hiburan dan drama kerana itulah minat dan cerminan masyarakat.

Bagaimanapun berpegang kepada asas dan matlamatnya, TV AlHijrah (AlHijrah) tetap teguh berdiri dan semakin dekat di hati para peminatnya yang kian meningkat.

“Malah sempena ulangtahunnya yang ke-10 pada 1 Muharram
1442, kini AlHijrah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan stesen TV yang lain. Semua ini hasil kerjasama staff tanpa berbelah bahagi.

“ Sepanjang PKP, Qurantime ditonton 10.7 juta orang,” Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah, Namanzee Harris.

“Asimilasi saya berlaku dengan cepat terutama dengan staff dan secara tidak langsung ia membina budaya kerja yang tinggi dan kini AlHijrah menjadi Saluran Islamik nombor satu,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Betapa tidak, jika suatu waktu dahulu kehadirannya diragui kini TV AlHijrah mencatat kejayaan tersendiri tatkala negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Jika masyarakat ingat ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang mana setiap hari penonton berdepan dengan berita kematian, AlHijrah mengambil keputusan membantu masyarakat mengatasi emosi ketakutan.

“Melalui perbincangan bersama staff, kami mencapai kata sepakat bagi mendepani isu emosi dengan kembali kepada agama dan TV AlHijrah harus menjadi media penenang dengan menerbitkan My#Qurantime (Qurantime) bagi mengatasi ketakutan yang luar biasa.

“Alhamdulillah episod pertama Qurantime yang disiarkan TV AlHijrah mendapat respon yang baik dan sepanjang PKP, Qurantime yang berasal dari perkataan quarantine ditonton oleh 10.7 juta orang, sementara melalui digital sebanyak 22 juta,” kata Namanzee Harris.

Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 selama 42 hari bermula pada 18 Mac-31 Mac, 1 April-14 April dan 15 April-28 April.

“Sepanjang PKP, kita dapati masyarakat memilih Qurantime yang menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran untuk menenangkan jiwa yang tidak tenteram.

“Bukan itu sahaja, malah Qurantime memberi segala tips dan panduan serta doa-doa dalam membantu pemandu ketika berdepan dengan kesesakan lalu lintas bukan sahaja mampu mengatasi ‘anger management’ malah ianya telah meletakkan TV AlHijrah di hati mereka,” kata Namanzee Harris.

Selain berjaya menjadi media penenang ketika pandemik Covid-19, Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif ke-lima dan baru setahun bersama TV AlHijrah (bermula 1 Julai tahun lalu), kini boleh menarik nafas lega kerana jika suatu ketika dahulu pihak pengiklan sukar memilih stesen TV berkenaan tetapi kini semuanya sudah berubah.

“Alhamdulillah persepsi pengiklan kini berubah dan ia sangat inovatif dan liberal. Kami menjelaskan kepada mereka TV AlHijrah bukan tempat untuk memperkenalkan produk baru mereka tetapi mengatasi krisis pentadbiran ketika pandemik,” jelas Namanzee Harris.

Bersandarkan itu, SME dan Industeri Kecil Sederhana yang tiada bajet dan kami memberi 7.6 juta airtime secara percuma kini datang semula kepada AlHijrah untuk melabur.

Bukan itu sahaja, malah PLUS dan TH memohon bantuan strategi komunikasi dari AlHijrah.

Meskipun sedar kehadiran beliau yang berlatarbelakangkan dari Unit Hiburan TV swasta pernah diragui namun hari ini beliau mampu menangani stesen TV berlandaskan patuh syariah dengan baik dan tidak lari daripada asas penubuhannya.

“Hari pertama menjejakkan kaki di AlHijrah, dalam minda saya adalah untuk mengenali lebih dekat 220 staff dengan cuba memahami masalah mereka kemudian membina kepercayaan kerana saya yakin sebesar manapun cabaran, jika mendapat kepercayaan daripada staff yang susah akan menjadi senang.

“Setiap minggu selama sebulan saya mengadakan sesi mengopi kerana membina hubungan dengan insan amat sukar dan akhirnya saya mengenali lebih dekat kesemua 220 kakitangan AlHijrah.

“Mungkin ada di luar sana yang mempunyai pandangan yang skeptikal terhadap staff AlHijrah tetapi apabila mengenali mereka saya kagum dengan semangat juang dan cara mereka bekerja kerana jika di stesen televisyen lain memerlukan masa sehingga enam bulan untuk menerbitkan sesuatu program kerana mereka mempunyai pelbagai jabatan membantu menjayakannya, tetapi di AlHijrah dalam tempoh sebulan mereka mampu menerbitkan program baru.

“Saya bangga dan amat berterima kasih kerana dalam waktu pendek dengan kekangan bajet mereka dapat menerbitkan drama rantaian 36 episod kerana drama bukanlah forte kami. Namun dengan hanya melibatkan empat pelakon yang establish sementara pelakon tambahan dan krew penerbitan adalah kakitangan AlHijrah, ia telah mencatat sejarahnya yang tersendiri,” luah Namanzee Harris dengan penuh kesyukuran.

“Boss…Mama Kirim Salam” drama rantaian 36 episod terbitan pertama TV AlHijrah menepati citarasa penonton tanpa mengabaikan patuh syariah.

“Boss…Mama Kirim Salam” drama rantaian in-house sebanyak 36 episod yang mula bersiaran pada 6 Februari 2020 pada pukul 6.30 petang setiap Khamis dan Jumaat mencatatkan sejarah manis buat semua kakitangan AlHijrah kerana walaupun hanya empat pelakon establish seperti Qazem Nor, Carolina Binur, Nina Fazurina dan Zee Khan Hussein, ia mampu menerbitkan drama yang menepati kehendak penonton dengan mengekalkan patuh syariah.

Kata Namanzee Harris lagi, biarpun drama berkenaan telah mencatatkan sejarah tersendiri namun di masa depan AlHijrah hanya akan menerbitkan drama dan filem pendek sahaja disamping program keagamaan.

“Biarlah drama rantaian kami serahkan kepada syarikat penerbitan luar kerana dengan kepakaran dan bajet yang diberikan saya yakin mereka boleh menerbitkan lebih baik,” kata Namanzee Harris.

Disamping menaikkan nama AlHijrah tanpa lari dari asas ia ditubuhkan mereka akan menerbitkan lebih banyak program yang menepati citarasa penonton tanpa terlepas menyantuni anak-anak muda hari ini yang suka berTikTok.

Dengan itu, AlHijrah kini dalam proses memperkemaskan dan memperkasakan platform digital sedia ada antaranya Hbit, Youtube dan Sportify.

Sementara itu, pada Disember ini, TV Al-Hijrah merancang untuk mengadakan Anugerah Media Islam 2020 (AMI2020) dengan fokus kepada penerbitan terbaik antaranya drama, percetakan digital, tokoh dalam bidang Islamik dan ianya terbuka kepada semua stesen TV.

“Saya harap AMI2020 mampu meletakkan penerbitan patuh syariah pada kelasnya yang tersendiri tanpa mengabaikan mutu sesuatu penerbitan,” kata Namanzee Harris.

Menyentuh mengenai perancangannya untuk TV AlHijrah, tanpa teragak-agak Namanzee Harris berkata;

“Ini bukan angan-angan tetapi ini perancangan dan harapan saya dalam tempuh 10 tahun lagi, AlHijrah dapat meneroka program-program baru yang mampu menarik penonton baharu sambil mengekalkan penonton lama.

“Disamping itu, saya berharap AlHijrah dapat menerbitkan lebih banyak drama pendek demi memperkukuhkan unit penerbitan dalaman kerana ini penting untuk memperkasakannya.

“Saya yakin AlHijrah konsisten dalam menghasilkan program berkualiti bukan sahaja untuk tontonan masyarakat di Malaysia malah boleh dipasarkan Netflix semoga menjadi tontonan di Indonesia dan Amerika Syarikat program TV Islamik garapan orang Malaysia bersifat moden tetapi mampu menyantuni semua masyarakat,” kata Namanzee Harris penuh harapan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here