Challenge STL masih meragukan, dedah kesilapan – Zolkples

1
656

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SISTEM bantahan bervideo (challenge) yang dijalankan dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2020 sekarang, mengambil masa yang agak lama, mengganggu rentak permainan dan boleh diragui kerana masih bergantung kepada manusia (pegawai teknikal).

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, sistem yang digunakan STL tidak sepantas challenge dalam sukan tenis dan badminton yang cuma memakan beberapa saat dan keputusannya mampu dibuat serta-merta.

“Ada juga beberapa keputusan oleh pegawai teknikal yang menengok video ulang tayang perlawanan Divisyen Perdana STL yang dibantah, boleh dipertikaikan dan masih terdedah dengan kesilapan manusia.

“Seingat saya, challenge STL ini sudah ada sejak 2016. Apabila sudah lama digunakan, kenalah meningkat supaya permainan lebih menarik tetapi macam masih di takuk lama sahaja.

“Contohnya apabila tampanan apit kanan Kelantan Warriors dibantah Kuala Lumpur Thunder yang mendakwa kakinya melampaui sempadan atas jaring dan challengenya berjaya.

“Sedangkan saya lihat, kaki pemain Kelantan masih betul-betul di tengah sahaja dan tampanannya yang masuk gelanggang lawan, masih sah dan bersih,” katanya.

Ekoran keputusan challenge yang diragui pada mata penamat yang awalnya memihak Kelantan itu, Kuala Lumpur pula yang berjaya memenangi set kedua seterusnya mengheret ke set penentuan dan menang 2-1.

Ujar Zolkples, challenge sepak takraw agak banyak dan pelik apabila turut melibatkan soal sama ada tangan tersentuh bola dan kaki atau kepala berlaga dengan lawan di atas jaring selain bola keluar atau masuk di garisan tepi dan belakang.

“Disebabkan challenge sepak takraw masih bergantung kepada keputusan manusia (pegawai teknikal), itu yang terjadi kontroversi ketika final antara regu Malaysia dan Indonesia dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan Malaysia-Thailand (Sukan SEA Filipina 2019),” katanya.

Zolkples turut mengesan kontroversi gara-gara keputusan manusia dalam sepak takraw kerap berlaku apabila persaingan mata yang begitu rapat dan kedudukan mata akhir.

“Dalam satu lagi perlawanan STL baru-baru ini pun saya dapati pengadil kata bola terkena tangan padahal hanya rusuk pemain. Sebarang keputusan apabila diputuskan manusia ini kadang-kadang mampu menjadi berat sebelah,” katanya.

Zolkples berharap pihak yang berwajib seperti Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dapat melihat pandangan ini secara positif sekali gus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menambah baik sistem challenge agar fungsinya lebih jelas untuk menjadikan sukan sepak takraw ini semakin menarik.-BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Setuju. 3 ahli panel ada kalanya bercanggah pendapat mengenai sesuatu challenge. Insya allah saya percaya ia akan dapat diperbaiki. Challenge ‘in-out’ sepatutnya gunakan sistem ‘hawk-eye’ shj. Tepat dan tidak membuang masa!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here