Tonton sarkas dalam kereta di Korea Selatan demi elak Covid-19

0
204

UNIK… Sebelum ini, banyak negara di seluruh dunia melancarkan semula pawagam secara pandu-lalu demi kepuasan pelanggan ‘kemaruk’ tonton filem wayang terbaharu dari dalam kereta mereka.

Langkah itu juga sebagai pencegahan awal susulan wabak Covid-19 dan alternatif jika pelanggan tidak mahu duduk jauh dari rakan atau keluarga dek peraturan ketat jarak fizikal dalam pawagam.

Bagaimanapun, di Korea Selatan lain pula ceritanya apabila penduduk negara itu berpeluang saksi persembahan sarkas dari kereta mereka tanpa perlu risau risiko penularan pandemik maut tersebut.

Media tempatan melaporkan, aksi badut menjugel bola dan debaran artis akrobatik berlambung di atas pentas di kawasan terbuka di ibu kota Seoul ternyata amat menghiburkan ramai pengunjung.

Sarkas tahunan tersebut yang kebiasaannya diadakan sekitar Mei lalu telah ditangguhkan dua kali pada tahun ini disebabkan isu Covid-19 sehingga penganjur ubah kepada kaedah pandu masuk.

“Persembahan seni sangat penting malah masih perlu ada semasa situasi pandemik,” kata pengurus Pusat Rekaan Seni Jalanan Seoul, Cho Beong-hee yang teruja lihat sambutan hangat masyarakat.

Dikenali sebagai Festival Sarkas Seoul dan dianjurkan Yayasan Kebudayaan dan Kesenian Seoul, acara tersebut berlangsung di Oil Tank Culture Park di Mapo dari 1 tengah hari hingga 8.30 malam.

“Justeru, kami muncul dengan pelbagai idea untuk buat acara ini berjaya dan kaedah pandu masuk telah dipilih kerana dianggap cara paling selamat kepada peserta serta penonton,” jelas Beong-hee.

Setiap acara terhad 30 buah kereta dengan maksimum tiga orang dalam setiap kenderaan dan parkir di hadapan pentas, tetapi pertunjukan tersebut juga dapat disaksikan dalam talian secara percuma.

Ia berlangsung dari 18 September lalu hingga 4 Oktober depan membabitkan 16 penghibur manakala dari 9 Oktober hingga 3 November pula hanya melibatkan 10 penghibur lain yang dipilih penganjur.

Sejumlah 74 persembahan disusun sepanjang tarikh berkenaan dan meskipun sarkas itu tidak kena sebarang bayaran, pengunjung masih perlu mendapatkan tiket percuma dijual pada setiap Isnin.

Kekurangan interaksi bersama pengunjung bagaimanapun telah beri cabaran baharu kepada para penghibur kerana penganjur melarang sebarang sentuhan fizikal bagi kekang penularan Covid-19.

“Saya terpaksa membayangkan dan memikirkan semula cara baharu untuk disesuaikan dengan persembahan saya,” kata Lee Sung-hyung, seorang penghibur terkenal dalam sarkas berkenaan.

Para pengunjung dilihat terhibur dengan bertepuk tangan dan ada membunyikan hon kereta ketika aksi akrobatik bergayut dari pentas besar, yang dinaikkan menggunakan tali khas dari sebuah kren.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here