Sathia jurulatih pertama Liga Super 2020 dipecat

0
760
B. SATIANANTHAN. - Foto faselangor.my

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

B.Satiananthan menjadi ketua jurulatih pertama dalam Liga Super 2020 yang dipecat daripada jawatan itu oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini.

Tindakan drastik yang berkuat kuasa serta-merta itu diumumkan FAS pada laman sesawang rasminya, faselangor.my selepas persatuan itu menilai semua aspek berhubung prestasi terbaharu Si Gergasi Merah.

Pemecatan itu dikatakan berkait rapat dengan kekalahan teruk Selangor 6-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Iskandar, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu lalu.

Satiananthan, 62, juga pernah bergelar ketua jurulatih skuad negara dan bawah 23 tahun kebangsaan dari 2006 hingga 2009 dengan pencapaian terbaik membantu menjuarai Pestabola Merdeka 2007.

Lain-lain kejayaannya ialah bersama Kelantan sebagai juara Piala Malaysia 2010, Angkatan Tentera Malaysia juara Liga Perdana 2012 dan Felda United juara Liga Perdana 2018.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) ini juga dipilih sebagai Jurulatih Terbaik 2010, 2012 dan 2017 dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.

Lapor laman itu lagi, ”ekoran (pemecatan) itu, Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner akan memangku jawatan berkenaan sehingga penyandang baharunya diumumkan.

“FAS mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada B. Satiananthan kerana membimbing pasukan sehingga meraih tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2019 dan mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2019,” tambah laman itu.

Feichtenbeiner, 60, merupakan bekas jurulatih pasukan bawah 15 tahun Jerman dari 2016 hingga 2019 sebelum menyertai pasukan pengumpan, Selangor 2 atau dulunya PKNS FC dengan kontrak dua tahun.

Dalam Liga Malaysia, warga Jerman kelahiran Stuttgart ini turut pernah melatih MPPJ FC dari 2005 hingga 2006.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here