Sapura Energy lantik Mohd Anuar Taib sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif

0
423

KUALA LUMPUR — Ikon minyak dan gas, Tan Sri Shahril Shamsuddin akan bersara daripada Sapura Energy Bhd tahun depan.

Beliau akan meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 22 Mac, 2021, setelah mencapai usia 60 tahun.

Syarikat itu telah melantik Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif sebagai sebahagian daripada tempoh peralihan yang berkuat kuasa pada 1 Oktober, 2020.

Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa Shahril telah mengasaskan kumpulan itu daripada kontraktor ‘diving’ kepada sebuah syarikat minyak dan gas bersepadu global seperti sekarang.

“Di bawah kepemimpinannya, Sapura Energy telah berkembang daripada penggiat di peringkat domestik kepada sebuah syarikat minyak dan gas global terkenal yang menyediakan perkhidmatan huluan kepada seluruh rantaian nilai.

“Ini termasuk menjadi sebuah syarikat minyak bebas serantau melalui SapuraOMV, dengan sumber bersih melebihi 260MMboe, menyediakan perkhidmatan terhadap sebahagian besar keperluan gas asli di Malaysia,” katanya.

Shamsul Azhar berkata Shahril yang mengasaskan Sapura Energy pada pertengahan tahun 1990-an, akan meninggalkan legasi modal insan multinasional berkemahiran tinggi dan berkemampuan teknikal, aset bertaraf dunia yang strategik, operasi proses yang sempurna, dan kemampuan pengurusan projek yang kukuh.

Sementara itu, Mohd Anuar memulakan kerjaya minyak dan gasnya dengan Sarawak Shell Bhd pada tahun 1990, setelah menamatkan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan (Mekanikal) daripada Case Western Reserve University, Amerika Syarikat.

Beliau juga memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Pengurusan Antarabangsa daripada Universiti RMIT, Australia.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Bebas dan Bukan eksekutif Sapura Energy bulan lepas.

Pada penutup hari ini, saham Sapura Energy naik setengah sen kepada 12 sen dengan 123.05 juta saham diniagakan.

BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here