Istaf batalkan Piala Raja Thailand 2020

0
765
PERTEMBUNGAN musuh tradisi sepak takraw, Malaysia (jersi hitam) dan Thailand dalam Piala Raja Thailand 2019.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

ARENA sepak takraw antarabangsa terpaksa ‘dicutikan’ langsung sepanjang 2020 gara-gara situasi semasa pandemik maut Covid-19 dengan ‘korban’ terbaharunya ialah Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35.

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mengumumkan pembatalan kejohanan yang dijadualkan di Bangkok, Disember ini dalam surat rasmi bertarikh 15 September lalu kepada penganjurnya, Persatuan Takraw Thailand (TAT).

“Alasan Istaf ialah keselamatan dan kesihatan pemain, pegawai pasukan dan mereka yang terbabit dalam penganjurannya, perlu sentiasa diberikan keutamaan tertinggi.

“Semua negara anggota Istaf akan dimaklumkan mengenai pembatalannya pada hujung minggu ini,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader kepada BebasNews hari ini.

Jelasnya, pembatalan Piala Raja Thailand juga relevan dengan larangan oleh kerajaan kebanyakan negara anggota Istaf berhubung aktiviti keluar masuk rakyat masing-masing bagi membendung jangkitan Covid-19.

PIALA Raja Thailand yang diperkenalkan pada 1984 dan hanya menjadi milik juara acara regu berpasukan.

“Penyertaan negara-negara lain masih perlu melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan mereka selain kebenaran badan induk sukan masing-masing.

“Istaf berpendapat dalam situasi Covid-19 sekarang dengan peningkatan kes jangkitannya di seluruh dunia dan undang-undang imigresen ketat negara-negara tertentu, semuanya pasti sangat sukar diperoleh,” katanya.

Piala Raja Thailand Ke-35 pada mulanya dijadualkan pada 2 hingga 10 Oktober ini sebelum cuba dianjakkan Istaf dan TAT ke Disember tanpa tarikh baharu yang khusus.

Diperkenalkan pada 1984, kejohanan antarabangsa tertua ini hanya bermula dengan acara regu berpasukan tetapi kini sudah merangkumi antara regu, gelung, beregu dan kuadran yang disertai sehingga 30 negara.

ABDUL HALIM KADER

Thailand sentiasa membolot trofi ini kecuali sempat dirampas Malaysia pada 1985 dan 1988 namun skuad kita disekat Indonesia pada separuh akhir regu berpasukan, tahun lalu.

Sejak awal 2020, kalendar pertandingan Istaf menyaksikan penundaan dan pembatalan antaranya Kejohanan Asia di Dhaka, Bangladesh (19 hingga 23 Mac), Kejohanan Asia di De Hong, Yunan (26 Mei-2 Jun), Piala Jemputan China di Jinhua, Zheijang (3-6 Jun) dan Kejohanan Pantai Asia Kedua di Qingdao (9-14 Julai).

Lain-lain termasuk Kejohanan Belia Bawah 21 Tahun Asia yang turut ditunda ke 12-19 Disember ini dari 6-13 April lalu malah Piala Dunia Istaf Ketiga di Goa, India (24-28 November) dan Piala Persatuan Sepak Takraw Iran (Disember).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here