Sumareh: FAM sangkal dakwaan Pahang

0
475
MOHAMADOU Sumareh (kanan) juga sayap kanan Harimau Malaya.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

“TIDAK berasas, tidak bertanggungjawab dan tidak patut menuding jari!”

‘Tiga Tidak’ ini ditujukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada ahli gabungannya, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBP) berhubung kes bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh yang ‘lari’ ke kelab Thailand, Police Tero FC, 7 September lalu.

Reaksi keras FAM itu menjawab kenyataan rasmi PBNP hari ini yang menyifatkan badan induk berkenaan, tidak mempunyai kecenderungan dan tidak menunjukkan minat untuk mencari penyelesaian kes bekas sayap kanan Tok Gajah itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, “tuduhan itu tidak berasas, kenyataan (PBP) tidak bertanggungjawab dan (mereka) tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain.

“(PBP) sebaliknya perlu mengendalikan diri dengan lebih bertanggungjawab demi mengelak kes Klausa 8.7 seperti Sumareh ini berlaku,” katanya dalam siaran media hari ini.

Pada 4 Ogos 2020, Sumareh telah menghantar surat pembatalan kontraknya kepada PBNP berdasarkan Klausa 8.7 iaitu pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukannya tidak membayar gaji lebih daripada sekali.

Setiausaha Agung PBP, Norlia Abdul Manaf berkata, alasan FAM yang mendakwa perlu menunggu keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyelesaikan isu itu sebagai tidak berasas memandangkan bekas warga Gambia itu telah didaftarkan sebagai pemain tempatan setelah beroleh kewarganegaraan Malaysia pada 2018.

“FAM selaku pentadbir bola sepak negara sepatutnya membantu PBNP dalam menyelesaikan isu berkenaan supaya keadilan dapat ditegakkan. Telah banyak kes pertikaian pemain dan ahli gabungan FAM lalu, dikendalikan Jawatankuasa Status Pemain atau Jawatankuasa Tatatertib FAM,” katanya.

FAM jelas Stuart, tidak menolak kes Sumareh malah memberikan keterangan jelas kepada PBP dalam surat 14 September lalu bahawa FAM tidak boleh mendengar kes yang berada dalam bidang kuasa FIFA dan selagi mereka belum memutuskannya.

“FAM tiada apa-apa kepentingan tertentu dan sebagai badan induk, tidak menyebelahi mana-mana pihak sebelum kes didengar dan diputuskan malah menangani kes Sumareh dengan mengikut proses yang betul.

“Kami bukannya tidak menunjukkan minat dengan aduan PBP namun perlu menghormati proses perundangan FIFA. Kami juga sentiasa mengambil serius dan bertindak segera mengenai apa saja perkara berkaitan ahli gabungan FAM,” kata Stuart.

Tegas Stuart, sejak permulaan kes Sumareh sehingga hari ini, FAM dengan jelas mengikut segala proses, ketetapan dan peraturan malah membantu PBP dalam memberikan keterangan kepada FIFA bagi menyelesaikannya.

“Pada 27 Ogos lalu, FAM menerima permohonan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bagi mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk Sumareh menyertai Police Tero FC.

“FAM menolaknya pada 1 September sebab tiada penamatan kontrak secara bersama dan tiada aduan rasmi berkenaan pertelingkahan kontrak pemain diterima daripada mana-mana jawatankuasa FAM.

“Sehari kemudian, FAT membantah penolakan permohonan tersebut dengan meminta bantuan FIFA berhubung ITC itu. Pada 3 September lalu, FIFA mengeluarkan ITC sementara mengikut peruntukan Annex 3 Artikel 8.2 (7) Peraturan Status Pemindahan Pemain Bola Sepak FIFA supaya Sumareh boleh menyertai Police Tero FC,” katanya.

Stuart menjelaskan, keputusan ITC pemain dan kes penamatan kontrak pemain merupakan isu yang berbeza malah katanya, tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan dan hukuman yang akan dikenakan kepada pemain sekiranya didapati bersalah dalam isu penamatan kontrak.

Selain itu katanya, Sumareh pada 9 September lalu membuat aduan terus kepada FIFA berhubung masalah tunggakan gajinya bersama PBP dan dua hari kemudian, Unit Perundangan FIFA meminta PBP mengemukakan keterangan mengenainya selewat-lewatnya pada 1 Oktober ini.

“Walaupun Sumareh warganegara Malaysia dan kesnya patut didengar FAM, aduannya telah dibawa kepada FIFA yang juga sudah memulakan siasatan.

Pada 14 September lalu FAM memberitahu PBP, kami hanya akan mengadili kes ini yang tertakluk kepada keputusan FIFA kelak,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here