Zoey Rahman bangga dengan kejayaan MikaSeries

0
508
Kejayaan Zoey Rahman dalam bidang perniagaan kerana doa daripada ibunya, Azizah Ibrahim.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

RAMAI yang berpendapat, apabila seseorang selebriti itu mengeluarkan produk pasti laris. Tidak dinafikan ada beberapa selebriti berjaya menjual produk kerana pengaruh mereka sebagai public figure.

Namun bagi Zoey Rahman, beliau lebih suka mengambil jalan jauh berbanding jalan pintas kerana mahu produk yang dikeluarkan bertahan lama dan bukan sekadar setahun dua.

Beliau memulakan perniagaan pada 2016, dengan mengeluarkan set penjagaan kulit 3 in 1 (Mika Whitening) dan suplemen untuk mencerahkan kulit dan membantu sistem pencernaan (Mika Bright) kini mampu tersenyum lebar kerana jenama MikaSeries sudah mendapat tempat di hati pengguna tempatan.

Sebelum berjaya mencipta nama dalam perniagaan seperti sekarang, Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman, 35, mengakui beliau hampir putus asa.

Zoey Rahman mahu pengguna lebih mengenali jenama MikaSeries berbanding pengasasnya.

“Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah berputus asa. Sebagai seorang ahli perniagaan, saya bermula daripada bawah. Saya masuk kelas online masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), cari ilmu.

“Putus asa itu memang ada tapi kena cari jalan penyelesaian. Alhamdulillah, saya ada kawan-kawan yang sudah jutawan tapi masih merendah diri. Mereka sentiasa memberi nasihat apa pilihan yang perlu dibuat kalau ada masalah,” ceritanya apabila ditanya apa rahsia syarikat MikaSeries Sdn. Bhd., bertahan hingga kini.

Bagi Zoey, untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang itu perlu pekakkan telinga dengan cacian orang ramai dan tabah menghadapi halangan di hadapan.

Katanya, jenama MikaSeries agak lambat dikenali namun masih kekal dalam pasaran tempatan kerana pihaknya sentiasa menjaga hubungan dengan pengguna.

“MikaSeries ini agak slow naik tapi ia masih mendatar dan tahan lama, sesetengah produk yang boom meletup tinggi, selepas dua tiga tahun terus senyap. Saya tak nak begitu sebab kami menjaga kualiti dan alhamdulillah Shopee sendiri memberi kerjasama baik.

“Produk kami, adalah antara 10 jualan tertinggi di Shopee kerana kami menjaga kualiti berbanding sangkaan orang yang berpendapat, barang di Shopee kurang berkualiti. Kita menjaga pelanggan yang membeli produk MikaSeries.

Selepas bekerjasama dengan Shopee kini Zoey melebarkan sayap dengan memasarkan MikaSeries di rangkaian Watsons pula.

“Selalunya, kita akan telefon balik pelanggan untuk mengetahui maklum balas. Kita menjaga kepuasan pengguna dan mendapatkan database, setiap orang kita akan tanya mereka, barang dah sampai ke, macam mana kualiti dan sebagainya kerana kita menjaga hubungan dengan pembeli,” katanya tanpa berselindung.

Selepas tiga tahun bekerjasama dengan Shopee, kini MikaSeries mahu melebarkan sayapnya dengan Watsons pula. Jelas Zoey, tidak mudah untuk produk tempatan memasuki Watsons kerana mereka selektif.

“Mula-mula pergi ke Watsons, saya ditolak dua tiga kali juga. Memang susah untuk masuk pasaran Watsons kerana mereka antarabangsa dan agak selektif. Mereka tengok produk tempatan macam tak yakin dan suruh saya datang lain kali.

“Saya cuba lagi dan kali keempat atau kelima, baru mereka yakin dengan saya selepas melihat kualiti produk kami. Saya tunjuk kepada mereka yang MikaSeries ada penggikut tersendiri.

“Dari situ mereka yakin dan alhamdulillah, awal November ini, MikaSeries akan memasuki pasaran Watsons. Untuk permulaan, 50 outlet dulu. Insya-Allah untuk tahun 2021, barulah beberapa ratus outlet,” katanya tersenyum bangga.

Tambah Zoey, prinsip niaga MikaSeries mudah saja, iaitu menjaga hubungan dengan pengguna kerana mahu pelanggan sentiasa berada dengan mereka.

Zoey Rahman tetap aktif berlakon biarpun sibuk dengan perniagaan.

“Untuk menjaga hubungan dengan pelanggan kami memilih untuk memasuki pasaran Watsons, walaupun ada yang berpendapat jualan melalui stokis atau ejen lebih cepat naik.

“Kami ada juga ejen tapi kami tak berapa fokus pada itu. Biasanya kalau ada stokis memang akan naik cepat tapi kami nak jual sendiri kepada pelanggan untuk menjaga hubungan itu biar berkekalan seperti Loreal, Maybelline supaya benda itu bertahan lama, bukan sekejap saja.

“Saya memang turun padang setiap kali ada acara jualan besar-besaran termasuk di Singapura. Saya turun padang dan akan jual produk. Bila pelanggan bertemu dengan pengasas mereka lebih percaya,” jelasnya.

Berkat usaha gigihnya bersama pasukan MikaSeries, Zoey sudah mampu mengumpul harta dengan membeli sebuah kondo bernilai RM500,000 di Cheras untuk dihadiahkan kepada ibu bapanya.

“Hadiah rumah tu, keluarga saya memang tak tahu. Keluarga saya dari Terengganu datang sini, saya cakap nak buat pelancaran dan makan-makan. Bila saya umum nak bagi penghargaan rumah kepada ibu bapa sudah tentulah mereka terkejut. Ibu bapa sentiasa bagi semangat kepada saya.

“Kadang-kadang kalau saya down saya akan telefon ibu saya. Ma, macam mana ni ma, sales tak ada. Dia cakap, sabar berdoa kepada Allah, jangan lupa solat. Teruskan semangat, alhamdulillah berkat doa, mak dan abah yang mendoakan saya malam siang, saya sampai ke tahap ini,” katanya yang sentiasa mengutamakan ibu bapa itu.

Dalam urusan perniagaan, jelas Zoey, beliau tidak suka bekerja dengan ahli keluarga. Katanya, kalau ada ahli keluarga, segala urusan perlu berhati-hati demi menjaga perasaan mereka.

“Saya suka bergerak sendiri dan MikaSiries tak ada mana-mana kerjasama atau kongsi dengan mana-mana. Saya 100 peratus mula dengan sendiri tanpa pinjaman. Saya menggunakan duit berlakon.

“Masa saya dapat bayaran untuk kendali Gerak Geri Gasing, saya simpan duit itu, masuk umur 27 tahun, saya dapat beli rumah di Cheras. Dalam hidup saya memang ada perancangan.

“Sebagai seorang bisnesman, kedua ibu bapa perlu ada untuk beri semangat, doa mereka lebih berkualiti dan amat memberi sesuatu yang berkat,” katanya mengakhiri temu bual yang dibuat sewaktu pelancaran produk kosmetik dan kecantikan miliknya, MikaSeries For Superstar, baru-baru ini.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here