Prof Shamrahayu keliru kata hanya PM layak mengadap Agong – Aziz Bari

1
797

KETUA Pembangkang Perak dan pakar undang-undang perlembagaan Dr Aziz Bari menyifatkan Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz keliru apabila berpandangan hanya perdana menteri layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sama ada masih mempunyai sokongan majoriti atau sebaliknya.

Aziz yang dahulunya pensyarah undang-undang berkata, Shamrahayu gagal memahami peranan Yang di-Pertuan Agong khususnya sebagai “penjaga perlembagaan” yang memerlukan baginda mendapat maklumat dan perspektif yang betul mengenai keadaan semasa.

“Kelihatannya dia (Shamrahayu) keliru dalam soal nasihat perdana menteri atau kerajaan (kepada Agong) mengenai pentadbiran negara. Itu memang dalam autoriti perdana menteri atau kerajaan yang memerintah,” katanya kepada Malaysiakini.

Dari segi itu pun, katanya lagi, ia tidak bermakna Agong tidak boleh mendengar pandangan pihak lain.

“Jika tidak masakan ada apa yang disebut ‘the right to advise, to warn and to be consulted‘ di pihak raja. Ini semua memerlukan seseorang raja itu mendengar dan mendapat perspektif yang pelbagai dan bukan hanya dari perdana menteri saja,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Shamrahayu yang merupakan pakar perlembagaan berkata demikian dengan memetik Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, dia harus meletakkan jawatan atau meminta Parlimen dibubarkan.

Katanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim – yang mendakwa memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat – perlu menggunakan saluran demokrasi iaitu usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen, dan bukannya mengadap Agong bagi membuktikannya.

Kenyataan itu disanggah peguam Lum Wei Jiet yang membangkitkan kemelut politik di Perak pada 2010 dan Kedah pada Mei lalu, ketika wakil PAS, Umno dan Bersatu menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk menyatakan PH hilang majoriti.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula membidas kenyataan Shamrahayu yang menurutnya tidak membangkitkan perkara sama ketika pertukaran kerajaan yang dicetuskan Langkah Sheraton awal tahun ini.

Dalam pada itu Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi berkata, perspektif bahawa hanya perdana menteri boleh mengadap Agong berbahaya dalam konteks demokrasi Raja Berperlembagaan.

“Kesan daripada pandangan sedemikian ialah Raja akan dilihat sebagai boneka kerajaan yang ada, sedangkan idealnya ialah raja dan istana perlu berada di atas politik kepartian, raja perlu menjadi faktor penyatu untuk semua rakyat,” katanya.

Dalam satu sidang media semalam, Anwar mendakwa memiliki sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai “dokumen tetap yang tidak boleh diragui” bagi membuktikannya.

Dia juga berkata telah diperkenankan untuk mengadap Sultan Abdullah tetapi ia terpaksa ditangguhkan ekoran baginda dimasukkan ke Wad Diraja Institut Jantung Negara pada 21 September lalu.

https://bit.ly/3mN8DxA
Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Setuju dengan kenyataan Yb Dr Aziz Bari tu,
    Dr Shamrahayu agak singkat memahami kebenaran.
    Jangan jadi Prof Kangkung sudahlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here