Muafakat tetapi tidak sepakat?

0
712

JIKA ikut perancangan awal, Anwar Ibrahim dijangka mendapat jawatan Perdana Menteri (PM) pada bulan November atau selepas Sidang Kemuncak APEC November ini. Itu janji Dr. Mahathir Mohamad pada Disember 2019 dan beliau mengulangi kenyataan itu pada Februari lalu. Malangnya Dr. Mahathir meletak jawatan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar.

Anwar terlepas peluang November tetapi beliau terus ‘bekerja’ bagi merealisasikan impiannya. Kini beliau mendakwa mendapat peluang itu. Semalam beliau dengan penuh yakin menyatakan “saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,”.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan berapa ramai dan siapa MP itu tetapi kenyataan ikhlas Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan laluan bagi melorongkan hasrat Anwar ke Putrajaya.

Kata Zahid : UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau. Saya dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan (kepada Anwar). Saya menghormati pendirian mereka,”.

Tertunaikah hasrat Anwar untuk mendapatkan jawatan idamannya dalam tempoh yang lebih awal? Atau Anwar sekali lagi akan dikecewakan? Pelbagai reaksi diberi terhadap kenyataan Zahid termasuk ada yang mengatakan itu hanyalah strategi untuk membubarkan Parlimen. Apa terjadi jika MP UMNO menyeberang dan tidak ada pembubaran?

Dalam hal ini apakah status sebenar MP yang ‘direstui’ atau akan ‘dibebaskan’ oleh UMNO untuk menyokong Anwar?

Memang benar UMNO dan BN bukanlah komponen dalam gabungan PN. Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan MP UMNO dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri.

BN atau UMNO tidak menarik diri daripada kerajaan PN tetapi apabila ada ‘ramai’ MP UMNO dan BN yang menyokong Anwar maknanya kerajaan PN akan tumbang. Dan adakah tumbang itu akan membawa kepada pembentukan kerajaan baharu atau Parlimen dibubarkan?

Anwar yang sudah lama ‘bekerja’ untuk memenuhi agenda perjuangannya pasti tidak memandang ringan kemungkinan ini. Beliau juga harus bijak membuat percaturan supaya sokongan itu tidak membawa rebah. Mungkin untuk lebih selamat, MP yang bersetuju perlu menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar. Pastikan hanya satu SD, bukan seorang dua SD, satu sokong, satu tidak.

Dan jika ini berlaku apakah status MP UMNO atau BN berkenaan? Bolehkah mereka ini dianggap sebagai ‘katak’ atau pengkhianat kerana menyokong Anwar dan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin? Adakah keahlian mereka gugur secara automatik kerana mengalihkan sokongan? Lebih penting kenapa mereka perlu bersekongkol untuk meruntuhkan kerajaan? Memang menarik isu ini.

Tidak mustahil akhirnya ada yang sekadar menang sorak, ada yang menang jadi arang, dan ada yang akan berputih mata atau yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran. Jika UMNO ikhlas, hasrat MP UMNO yang berpaling sokongan itu patut dibincangkan bersama Pas, rakan Muafakat Nasional (MN). Ingatlah Pas ada di dalam PN. Ia rakan UMNO.

Apa guna muafakat tetapi tidak sepakat. Ketika Pas tetap menyatakan sokongan terhadap PN, UMNO dan BN pula melalui Ahmad Zahid telah bertindak sebaliknya. Benar UMNO bukan dalam BN tetapi rakan MN bagaimana?

Perancangan atau sandiwara apa yang cuba dipentaskan sekarang? Pelbagai andaian timbul. Adakah tindakan itu benar-benar ikhlas atau ada agenda seperti udang di sebalik batu atau marahkan nyamuk kelambu dibakar?

Jika mahu dibubarkan, terus sahaja berbincang secara berdepan bukan mengguna ‘pintu belakang’ atau seperti menikam kawan dari belakang. Tindakan seumpama ini hanya menimbulkan keresahan, kebimbangan dan kebencian terhadap pemimpin tertentu. Lebih malang jika kebencian itu diterjemahkan kepada organisasi yang bernama UMNO.

Cerita Anwar untuk menjadi PM sepatutnya sudah berakhir selepas peletakan jawatan Dr. Mahathir. Anwar patut menunggu pilihan raya umum (PRU) yang boleh dipercepatkan. Sekarang adalah masa untuk berperang dengan Covid-19, mencari penawar dan ubat kepada ‘kecederaan dan kesakitan’ yang sedang dialami.

Amat malang gelora politik hari ini berlaku ketika negara malahan dunia sedang berperang dengan pandemik Covid-19 yang bukan sahaja membunuh tetapi meragut ‘nikmat’ kehidupan, mengekang kebebasan dan paling parah menghilangkan pekerjaan, menjejaskan pendapatan, mewujudkan pengangguran dan pelbagai lagi.

Jangan kerana rebutan kuasa, rakyat terus menderita dan negara terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi. Sekarang adalah masa untuk berperang memulihkan pelbagai ‘kerosakan’ akibat pandemik ini, bukan ‘merosakkan’ apa yang ada. Sekarang bukan masa berperang untuk merebut takhta dan kuasa. Cukuplah!

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here