7 Hari Mencintaiku disambung musim ketiga

0
963
Antara barisan pelakon 7 Hari Mencintaiku 2 yang hadir pada majlis Thank You Party drama tersebut, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JIKA ada kawan-kawan yang kata, “I tak tonton drama Melayu, klise. Asyik tunjuk rebut jantan dan mak mentua jahat, buat orang takut nak kahwin saja.”

Kalau itu yang diperkatakan oleh rakan anda, beritahu beliau bahawa pandangannya salah. Tolong jelaskan kepadanya bahawa drama Melayu masih lagi relevan dan menjadi fenomena.

Sekali gus membuktikan bahawa industri kita terutamanya drama Melayu masih diperlukan dan boleh pergi ke peringkat yang lebih jauh.

Bukti sudah ada depan mata, iaitu drama 7 Hari Mencintaiku 2, karya Siti Rosmizah Semail, yang ditayangkan sebanyak 33 episod menerusi slot Akasia berjaya meraih tontonan sebanyak 12 juta, dan 5 juta tontonan untuk episod akhir saja.

Untuk pengetahuan semua, jalan cerita yang digarap dalam drama arahan Jamal Khan itu bukanlah imaginasi penulis novel yang juga penerbit drama tersebut.

Menurut Siti Rosmizah, segala yang dipaparkan dalam drama terbitan SR One Sdn. Bhd., lakonan Siti Saleha dan Syukri Yahaya itu berdasarkan realiti kehidupan masyarakat tempatan.

“Karya saya, novel atau drama adalah berkisar tentang realiti kehidupan masyarakat daripada kes-kes yang saya kendalikan sebelum ini. Bukan rekaan semata-mata kerana apa yang ditonjolkan itu realiti.

Novel tulisan Siti Rosmizah mendapat sambutan hangat dan kemudian diangkat menjadi drama.

“Bila realiti orang boleh terasa. Orang persoal kes mak mentua bergaduh, sebenarnya itu semua pernah berlaku. Saya rasa mungkin penonton kita sebenarnya suka benda yang realiti tanpa mereka sedar, seperti kisah hidup masyarakat.

“Apa yang berlaku di sekitar kita, kadang-kadang kita takut untuk mendedahkan apa yang benar. Bila realiti orang terasa dan tahu benda itu pahit tapi kita kena telan. Itulah realiti hidup yang pelanggan saya lalui.

“Saya lihat nasib mereka dan terfikir macam mana nak bawa benda itu dalam bentuk drama untuk orang sedar. Kalau saya buat ikut undang-undang orang tak nak baca, jadi saya buat dalam bentuk novel, kemudian digarapkan menjadi drama,” jelasnya yang ditemui pada majlis Thank You Party, 7 Hari Mencintaiku 2, baru-baru ini.

Meskipun ramai yang mengucapkan tahniah di atas kejayaan 7 Hari Mencintaiku 2, namun jauh di sudut hati Siti Rosmizah masih merasakan beliau belum mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sebagai penerbit, Siti Rosmizah menyasarkan drama yang diadaptasi daripada novelnya itu mampu mengumpul 20 juta tontonan sepanjang tempoh tayangan.

“Bila pihak TV3 umumkan drama ini mendapat sambutan hebat dan rating hingga 12 juta tontonan tidak termasuk di platform lain, memang satu rekod untuk kami dan menjadi fenomena pula tu.

Antara adegan yang terdapat dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2, yang berjaya mengumpul tontonan sehingga 12 juta.

“Tapi saya pula cakap, ala sasarannya rendah. Bukan saya nak riak sebab kita dah ada sasaran yang lebih tinggi. Sebenarnya saya dan pengarah Jamal sasarkan 20 juta tontonan untuk drama ini. Tapi okeylah disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita terima,” katanya yang tetap bersyukur dengan kejayaan yang diraih.

Siapa sangka, dek sambutan hebat drama ini, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Anwar Salleh bersetuju menandatangani usahasama dengan SR One Sdn. Bhd., selama dua tahun di mana pihak TV3 mendapat hak eksklusif adaptasi novel-novel Siti Rosmizah dan beberapa novel terbitan di bawah syarikat beliau.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan para penonton drama 7 Hari Mencintaiku pertama sehingga sekarang. Kami mengambil sokongan ini sebagai satu permintaan daripada peminat. Kami amat bertuah dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Puan Siti Rosmizah dan karya beliau yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton.

“Garapan mantap penulisan beliau membuatkan penonton tidak senang duduk, apatah lagi dengan “plot twist” di luar jangkaan. Semestinya peminat novel Siti Rozmizah amat teruja dengan berita ini apabila novel-novel kegemararan mereka bakal diapatasi di TV3,” jelas Khairul Anwar.

Sementara itu, Siti Rosmizah menyatakan, kejayaan dua karyanya sudah dijangka kerana melihat pada jualan novel ini yang begitu laris jadi secara dasarnya peminat- peminat novel ini telah pun sedia ada.

“Saya berterima kasih pada pihak TV3 yang memberi kepercayaan pada syarikat produksi saya untuk menerbitkan drama ini. Saya juga bersyukur atas sokongan para penonton dan peminat novel kerana kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa mereka.

“Insya-Allah atas permintaan ramai peminat-peminat drama 7 Hari Mencintaiku, 7 Hari Mencintaiku 3 bakal menyusul tahun hadapan. Mudah-mudahan saya terus sihat untuk terus berkarya. 7 Hari Mencintaiku 3 adalah hadiah teristimewa daripada saya dan pihak TV3 buat anda semua,” katanya tentang drama yang bakal menemui penonton pada November 2021.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here