Budi bicara Agong menerima sesiapa untuk menghadap baginda

0
695
FOTO: Wikimedia Commons/Photo by CEphoto, Uwe Aranas

Oleh Hafiz Hassan

BENARKAH hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong (Agong) bagi menyatakan kedudukan semasa beliau sama ada masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya di Parlimen?

Kalau orang ramai boleh keliru dengan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menghadap Agong bagi mempersembahkan sokongan majoriti seperti didakwa diperoleh beliau, kenyataan hanya Perdana Menteri yang layak menghadap Agong pun boleh mengelirukan orang ramai mengenai peranan Agong.

Tidak kiralah apa kecenderungan politik kita. Tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree), jika kita mengamalkan politik yang matang.

Dalam hal pelantikan Perdana Menteri, kita boleh bersetuju bahawa:

Pertama, pelantikan seorang Perdana Menteri adalah budi bicara Agong seperti diperuntukkan di bawah Artikel 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak tertakluk kepada nasihat Kabinet yang kelazimannya diberikan oleh Perdana Menteri.

Kedua, Agong diberi mandat oleh Artikel 43(2)(a) untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Ia bukan soal angka. Dan bukan juga soal siapa dan dari parti mana.

Ia soal siapa yang mempunyai kepercayaan dan sokongan 112 ahli Dewan Rakyat. Sesiapa di kalangan ahli Dewan boleh sahaja meyakinkan Agong bahawa beliau mempunyai angka tersebut.

Tetapi tidak ada siapa yang boleh memaksa Agong menerima bahawa seseorang itu mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan.

Hemat dan pertimbangannya adalah pada Agong. Inilah yang dinamakan budi bicara, seperti budi bicara seorang Perdana Menteri menentukan siapakah Menteri yang perlu dilantik oleh Agong bagi membentuk Jemaah Menteri atau Kabinet.

Adalah juga budi bicara YDPA untuk menerima siapa yang mahu menghadap baginda.

Menerima siapa yang mahu menghadap Agong adalah salah satu tugas penting seharian seorang Agong. Ini membolehkan baginda untuk mendengar secara langsung suara rakyat.

Jadi kenapa Anwar harus terhalang untuk menghadap Agong hanya kerana beliau bukan Perdana Menteri?

Anwar adalah Ketua Pembangkang dalam Parlimen, dan Ketua Pembangkang adalah jolokan rasmi di bawah Aturan 4A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Parlimen pula adalah satu daripada tiga institusi kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Jadi, biarlah Anwar menghadap Agong dan baginda mendengar dari Anwar. Sekiranya pada hemat baginda Muhyiddin mungkin masih mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti ahli Dewan, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here