Orang jual minyak wangi, Azwan Ali jual minyak angin

0
683
Azwan Ali bangga meniaga minyak angin Diva AA kerana ia mengingatkan beliau kepada arwah bapanya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ARTIS lain berlumba-lumba mengeluarkan produk kecantikan seperti bedak, lipstik atau minyak wangi. Tiba-tiba Azwan Ali buat minyak angin, tak kelakar ya, itu kenyataan.

Mungkin ada yang kata, sesuailah dengan Azwan atau popular dengan gelaran Diva AA sebab kerap sangat naik angin. Tengoklah di media sosial banyak betul cerita tentang Azwan yang terkenal dengan mulut lancang itu.

Sewaktu bertemu dengan Azwan, 54, di Duchess Place Kuala Lumpur, Jalan Ampang, baru-baru ini, beliau menjelaskan kenapa memilih untuk terlibat dalam perniagaan minyak angin.

Azwan Ali menyukai tagline Minyak Angin Diva AA.

“Saya pilih minyak angin sebab minyak angin adalah aktiviti arwah bapa, Haji Ali Omar. Bapa saya memang biasa masak minyak angin. Arwah bapa saya jual minyak angin sebab dia mengurut orang kemalangan.

“Arwah dah 20 tahun meninggal dan merupakan seorang pesara tentera. Dia masak minyak angin sendiri, dan urut orang kemalangan dan ramai yang pulih. Itulah kelebihan Haji Ali. Saya tergerak untuk terlibat sebab produk ini macam sesuatu dan ada nostalgia. Itu saja puncanya.

“Bukan soal nak buat duit. Kalau artis lain buat mekap dan lipstik, saya tak ambil tahu pun. Ramai yang jadi duta, bila saya kata ya saja, baru saya perasan yang saya seorang saja yang jual minyak angin. Di situ kelainannya. Mana tau rezeki melimpah hanya dengan jual minyak angin,” jelasnya tanpa berselindung.

Tambah Azwan, pertama kali menghidu minyak angin tersebut, beliau telah jatuh cinta kerana baunya tidak tengik dan menyenangkan.

Azwan Ali dan Naza di Terenggau dalam acara santai bersama mempromosi Minyak Angin Diva AA.

“Saya rasa minyak angin ini adalah usaha saya untuk mendekati peminat termasuk di Singapura dan Brunei. Inilah hadiah untuk peminat saya, walaupun tak boleh beri kepada mereka secara percuma tapi sekurang-kurangnya saya dapat berswafoto dengan mereka sebagai tanda terima kasih.

“Untuk permulaan, saya dan pasukan Minyak Angin Diva AA akan mengadakan pertemuan santai dengan masyarakat di Terengganu. Saya pilih Terengganu kerana salah seorang pengasas, iaitu Jo, ibunya menetap di Besut. Saya nak ambil keberkatan daripada ibunya yang pernah saya kenal.

“Bagi saya, konsep minyak ini adalah minyak amalan semua masyarakat. Pertemuan itu bukan sebab nak raih populariti atau soal jualan tapi sebab nak jumpa orang di sana saja,” katanya yang akan mengadakan pertemuan dengan komuniti setempat di Melaka, Oktober ini.

Minyak Angin Diva AA ditampilkan dalam bentuk yang menarik.

Jelas Azwan, selain kosmetik, minyak angin juga perlu dibawa bersama dalam beg tangan kerana ia berguna sepanjang masa. Melihat kepada pembungkusan minyak angin Diva AA yang cantik, anda tidak malu untuk membawanya ke mana sahaja. Awas kerana sekali pandang botolnya seperti minyak wangi atau lipstik.

Azwan turut memberitahu, biarpun beliau kini memikul tanggungjawab mempromosi minyak angin Diva AA, namun reputasinya sebagai Diva AA tetap kekal.

“Tidak dinafikan saya perlu menjaga pertuturan sebab terlibat dengan bisnes ini, tapi reputasi saya kekal seperti mana anda semua mengenali saya.

“Kalau ada yang terbaca cerita saya sembur seseorang biasanya orang itu ada kesalahan besar. Saya hanya berniat untuk memperbetulkan kesilapan pihak itu, salahkah? Tapi kalau masih ada pihak yang tak dapat menerima, it’s too bad.

“Kalau tengok IG (Instagram) dah tak ada isu politik sebab saya memang jaga IG saya untuk produk ini saja. Tetapi itu tidak akan menjejas reputasi saya untuk sembur sesiapa saja.

Azwan Ali bersama rakan artis sewaktu pertemuan santai di Duchess Place Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Dalam dunia ini saya tak akan sembur sembarangan orang, tapi kalau orang itu salah, memang saya sembur. Prinsip saya, you don’t step on my head. Aku ni macam tebuan atau sarang ular paling bahaya, Anaconda. Kalau kau pijak akan mati,” katanya terus terang.

Malah dengan bangga Azwan juga memberitahu bahawa kecaman terhadapnya telah kurang selepas beliau membayar denda RM17,000 sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), minggu pertama gara-gara menyelar dan mengutuk sebuah hospital.

“Sebenarnya yang mengecam saya tu peratus semakin merosot, sejak saya didenda oleh mahkamah untuk membayar RM17,000 waktu PKP. Gara-gara seorang artis, saya diarah oleh mahkamah, kalau tidak saya dijel. Sejak itulah tak ada siapa yang mengata saya.

“Perkembangan kecaman merosot teruk dan merudum. Dulu bangun pagi, 50 orang maki kau. Sekarang nak ada tiga orang pun susah. Dulu, bila bangun pagi, tengok 50 orang maki kita, takkan nak diam, makilah balik. Tapi sekarang dah berkurang dengan kuasa Allah.

“Contohnya, ada yang kata saya tak ada job, padan muka? Dia orang boleh hina saya macam-macam, tapi dengan kuasa Allah lihatlah sekarang. Saya tak pernah nak sentuh soal bodyshaming kecuali seorang itu sebab dia yang pijak saya dulu.

“Tapi bila kita tengok kes baharu, bodyshaming adalah satu jenayah, kita jadi semakin berhati-hati.Satu iktibar kepada kita semua dan saya sendiri berhati-hati. Kes itu pada saya, Allah nak tunjukkan kepada kita semua supaya berhati-hati,” kata Azwan yang sebenarnya seorang yang suka berterus terang.

Sementara itu, salah seorang pengasas minyak angin Diva AA, Naza atau Nik Nazaruddin Nik Osman, mengakui sebelum bersemuka dengan Azwan, beliau ada sedikit perasaan ragu-ragu.

“Kalau saya tengok di media sosial agak menyeramkan juga untuk dibuat rakan kongsi. Tapi lepas saya berjumpa dia, saya rasa dia ni berbeza. Lepas tu baru saya recap balik dan semua yang dia kutuk itu fakta. Tapi bila kita dengar balik cerita daripada dia, kita fahamlah kenapa dia cakap macam tu.

“Orang ni kadang-kadang melenting bila dia cakap panas-panas sedangkan kita dengar satu pihak saja, sedangkan kita tak tahu. Apa yang saya tengok, dia marah benda-benda yang fakta. Sebagai partner, saya nak juga dia kurangkan marahnya itu.

“Sebenarnya sebelum kehadiran Azwan, kita sudah ada perancangan nak keluarkan minyak angin dan kebetulan masa kita merancang, Allah nak tunjuk dan bawa dia datang kepada kita.

“Bila jumpa dan rasa okey, mungkin Allah nak tunjuk ini partner kami untuk minyak angin. Saya tak anggap Azwan sebagai duta tapi sebagai rakan kongsi saya,” jelasnya yang bernaung di bawah syarikat House of Duchess Sdn. Bhd.

Naza tidak menafikan Azwan penuh dengan kontraversi tapi pada waktu yang sama beliau melihat Azwan sebagai seorang yang penuh semangat.

“Saya kenal dia, awal Ogos lalu dan kita sudah pun buat soft launch dan kita boleh tengok dia punya semangat serta kerjasama. Ada kawan, Datuk Bib yang kenalkan saya dengan Azwan. Lepas dari itu nampak feedback, perancangan dan dia semangat nak buat perkara ini.

“Masa pertemuan itu kita tak ada nama lagi. Jadi bila dia datang terus jadi nama Minyak Angin Diva AA. Antara ramuan minyak angin ini, kita guna halia dan peppermint. R & D (research & development) mula dari November tahun lepas. Masa tu tak terfikirpun nak buat dengan Azwan.

“Awal Ogos bila Azwan datang, baru kita aktif balik. Sebelum itu kita buat R & D dan tinggal begitu saja. Memang ada beberapa sampel dan selepas enam bulan kita tengok balik dan produk itu masih elok, kebetulan dia datang, kita on balik projek itu,” ceritanya.

Untuk permulaan, sebanyak 5,000 botol dikeluarkan dengan kandungan 10 mililiter pada harga RM11 sebotol. Minyak Angin Diva AA sesuai diguna untuk mereka yang berusia lima tahun ke atas.

Kata Naza, mereka sedang mencari master stokis, ejen dan dropship dalam waktu terdekat. Sesiapa yang berminat boleh lihat di Shopee.my/minyakangindiva atau Instagram @minyakangindiva atau Facebook: minyakangindiva.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here