Isu kelajuan pakej Unifi: SKMM beri surat amaran akhir pada TM

0
570

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) diberi Surat Amaran Akhir serta digesa membetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran, selain membuat pelan komunikasi untuk pelanggan terjejas berhubung isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini, amaran berkenaan bagi mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC) dan suruhanjaya itu juga memandang berat kelemahan kawalan dalaman di TM hingga mencetuskan kekeliruan itu.

“Seksyen itu menghendaki pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaharu dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

“SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

“SKMM berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua syarikat pemberi perkhidmatan agar memastikan kepentingan pengguna terus menjadi asas kepada semua amalan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

SKMM juga mengingatkan syarikat telekomunikasi itu agar mengamalkan cara perniagaan beretika sepanjang masa dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat.

TM turut diingatkan untuk memastikan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan seperti dalam pakej langganan dan memaklumkan pelanggan mengenai isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

SKMM kini sedang menyemak semula GCC agar pemberi perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna sekali gus menambah baik perlindungan terhadap pengguna.

Bernama
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here