Kuasa dunia enggan pindah kedutaan ke Putrajaya?

0
1259

Oleh AMREE AHMAD

JIKA anda pernah melalui Presint 15 di Putrajaya, sama ada atas urusan kerja atau bertemu rakan, mungkin terdetik rasa tanda tanya mengenai suasana agak ‘sunyi’ sepi di kawasan diplomatik elit itu.

Mujur ada sebuah bangunan canseri di No.2, Jalan Diplomatik 2/5 yang menempatkan Suruhanjaya Tinggi Brunei ke Malaysia berdiri megah di situ setelah ia baru sahaja berpindah dari Kuala Lumpur.

Namun, jiran sebelah kedutaan tersebut masih lagi kosong dengan hanya papan tanda kecil dipacak bagi maklum nama negara yang ‘tempah’ mahu bina pejabat perwakilan diplomatiknya di lot tanah itu.

Begitulah situasi di kawasan ini; yang asalnya dikenali sebagai Presint Diplomatik, serta berkeluasan 84 hektar mengandungi 61 lot dan sepatutnya telah ‘dihuni’ puluhan canseri sesuai dengan namanya.

Ironi, ini tidak berlaku dan setelah lebih sedekad zon eksklusif itu dimajukan, ‘kelibat’ 28 negara yang setuju pindah dari Kuala Lumpur waima sudah siap beli tanah di situ, tetapi kini terbiar begitu sahaja.

Malangnya, itu ‘cerita lama’ pada 2008 lalu dan hari ini, mereka masih kekal di Kuala Lumpur yang gah ada 25 suruhanjaya tinggi (negara anggota Pertubuhan Komanwel Britain) selain 77 kedutaan.

Di mana silapnya dan adakah kerajaan Malaysia tidak begitu tegas arah mereka beralih ke Putrajaya berbanding negara lain yang pindah ibu kota masing-masing diikuti sekali pejabat diplomatik asing.

Walhal, Putrajaya dibina berasaskan model ibu kota baharu beberapa negara seperti Brasilia, Brazil; Canberra, Australia; Ankara, Turki; Islamabad, Pakistan dan Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

Bahkan, idea Putrajaya kemudian turut ‘ditiru’ pula Myanmar dengan pindah Yangon ke Naypyidaw dan Kazakhstan yang pindah dari Almaty ke Astana (kemudian diubah namanya kepada Nur-Sultan).

Persoalan misteri itu mungkin tidak begitu diberi perhatian oleh orang biasa, namun bagi saintis politik tempatan dan antarabangsa, isu ini ada kesan signifikan imej kedaulatan kepada sesebuah negara.

Lihatlah reaksi dunia kecoh apabila AS ‘angkuh’ pindah kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sebagai tanda pentauliahan kepada Israel, sekali gus tidak iktiraf Palestin sebagai negara merdeka.

Peliknya, AS tidak pula mahu pindah canserinya di Kuala Lumpur ke Putrajaya dan langkah ‘aneh’ itu turut jadi asas empat kuasa besar dunia yang ada hak veto di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Lucunya, semua lima negara itu boleh pula tiada masalah besar pindah kedutaan mereka di Kaherah bersama-sama lebih 60 negara lain ke zon diplomatik terkini di Wedian, iaitu ibu kota baharu Mesir.

Bagi rungkai isu unik ini, penulis teringat jawapan spontan Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika bekas menteri luar itu ajak lihat ‘pemindahan’ Wisma Putra dari Kuala Lumpur ke Putrajaya pada 2001 lalu.

Selaku mantan peguam yang berpengalaman luas, beliau beri dua sebab kenapa isu ini timbul iaitu ibu negara rasmi Malaysia masih lagi di Kuala Lumpur dan Parlimen bukannya terletak di Putrajaya.

Situasi janggal ini dirumitkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang kekal status-quo, malah cubaan Datuk Seri Nazri Aziz ketika jadi menteri undang-undang untuk ‘ubah’ klausa itu gagal pada 2010.

Mungkin ramai terlupa, isu pertukaran ibu negara dan Parlimen ke Putrajaya nyaris dibentang, tetapi terpaksa ditarik balik saat-saat akhir atas alasan kos bina bangunan baharu legislatif itu agak mahal.

Alasan remeh ini ujar Syed Hamid, mungkin dijadikan ‘modal’ oleh Jabatan Negara AS di Washington DC untuk enggan pindah kedutaannya yang amat strategik di Jalan Tun Razak ke Presint Diplomatik.

Tidak hairanlah sekutunya, Britain dan Perancis pun sanggup sewa pejabat di Kuala Lumpur sebagai kedutaan; selepas jual tanah milik tapak canseri mereka bernilai ratusan juta ringgit di Jalan Ampang.

Begitu jugalah seteru AS iaitu Rusia dan China yang dilapor beli lagi lot tanah bersebelahan canseri masing-masing sebaris jalan tersebut untuk perluaskan pejabat misi diplomatik negara berkenaan.

Hal ini juga pernah didedahkan beberapa akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada 2017 dan antara punca banyak negara ‘berat’ pindah dek taraf Kuala Lumpur sendiri sebagai hub ekonomi Malaysia.

Sekadar rekod, Bank Negara, Bursa Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hatta Kementerian Pertahanan, Kerja Raya serta markas polis di Bukit Aman pun tidak ke Putrajaya.

Jika beginilah alasannya, negara kita sebenarnya sudah ‘hebat’ setaraf macam Afrika Selatan apabila kedutaan asing terletak berselerak di tiga ibu negaranya iaitu Pretoria, Capetown dan Bloemfontein.

Hakikatnya, tindakan AS dan empat negara kuasa utama PBB itu sengaja kekal lagi di Kuala Lumpur adalah sejajar dengan norma hubungan diplomatik antarabangsa dan ia bukan pun perkara baharu.

Sebab itulah kedutaan mereka di Belanda di Amsterdam, bukan The Hague; Sri Lanka di Colombo, bukan Kotte; Chile di Santiago, bukan Valparaiso dan Tanzania di Dodoma, bukan Dar es Salaam.

Untuk rekod, secara kebetulan ada 13 negara di dunia yang pusat pentadbiran kerajaannya ‘senasib’ Putrajaya apabila kedutaan terletak di tempat lain dek isu lokasi parlimen dan warta ibu negara rasmi.

Kecualilah Malaysia ‘belajar’ dari Mesir, Myanmar, Kazakhstan waima Israel, dengan sanggup pinda perlembagaan bagi ubah klausa nama ibu negara rasmi hatta pindah kedudukan bangunan parlimen.

Sekiranya dua isu ini dapat ditukar, tidak mustahil semua kedutaan yang ada di sekitar Kuala Lumpur (kecuali Brunei) terpaksalah berpindah ke Putrajaya sama ada kerajaan mereka suka atau pun tidak.

Lagipun, tapak kompleks Parlimen baharu di Putrajaya memang wujud dengan kos binaan dianggar bernilai RM800 juta bagi ganti bangunan sedia ada di Kuala Lumpur yang berusia hampir 60 tahun.

Cuma persoalannya, apakah kerajaan kita memang bersedia ke arah itu demi menjadikan Putrajaya bertaraf global hebat setanding dengan pelbagai model ibu kota ‘terancang’ lain di seluruh dunia?

BebasNews
* Artikel ini hanya merupakan pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan BebasNews.
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here