“Saya tidak mampu melawan takdir Illahi” – Yamani Abdillah

0
5397
YAMANI Abdillah tersingkir pads minggu keempat Big Stage musim ketiga.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

BUKAN mudah sebenarnya apabila menjadi anak seorang penyanyi terkenal yang dianggap lagenda dalam bidang senisuara.

Sebabnya apa juga yang dilakukan pasti akan menjadi perbandingan antara si anak dengan si ayah.

Biar mungkin si anak cuba ‘melarikan’ diri daripada kesamaan itu, tetapi siapalah dia untuk menafikan suatu kenyataan.

Begitulah yang harus dilalui oleh Yamani Abdillah,19, salah seorang peserta Big Stage musim ketiga yang tersingkir pada minggu keempat.

“Siapalah saya untuk melawan takdir Illahi. Sememangnya saya dilahirkan sebagai anak kepada penyanyi lagenda Jamal Abdillah dan sampai mati saya tetap Osama Yamani bin Jamal Abdillah!

“Saya tidak pernah menyesal malah bersyukur dan bertuah kerana beliau adalah Babah saya.
Sebagai anak saya kagum dengan bakat dan kebolehan Babah tetapi jangan salahkan saya jika saya mewarisi bakat Babah tetapi bukan menirunya,” kata Yamani ketika dihubungi semalam.

Bagi Yamani yang tersingkir dari pertandingan realiti itu pada minggu keempat jika ada walau sedikitpun kesamaan antara dia dengan Babahnya itu adalah satu realiti.

Bagaimanapun Yamani menafikan suaranya sama dengan Babahnya, Datuk Jamal Abdillah.

“Jika ada yang menganggap suara saya macam Babah, itu silap. Sebagai anak yang mewarisi bakat Babah saya tahu hanya 20 peratus sahaja suara saya macam Babah.

“Adakah itu salah? Bagi saya kalau suara saya seperti penyanyi popular lain memanglah pelik. Sedangkan anak mendiang John Lennon, Julian bukan sahaja suara seperti ayahnya malah wajahnya juga seiras.

“Begitu juga suara Syafik Farhain hampir sama dengan Allahyarham ayahnya, Saleem dan sebab itulah pada minggu ketiga saya memilih Syafik Farhain berduet dalam lagu Isabella sebagai ‘tribute’ kepada ayah kami,” jelas Yamani Abdillah.

YAMANI Abdillah ketika kecil bersama babahnya, Datuk Jamal Abdillah.

Menurut Yamani, kegagalannya dalam Big Stage tidak pernah melunturkan semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang seni kerana penyertaannya untuk mencari pengalaman.

Bagaimanapun sebagai pewaris bakat Datuk Jamal Abdillah, Yamani mahu kehadirannya bukan sekadar menambahkan bilangan penyanyi sebaliknya mahu kekal seperti Babahnya yang masih tetap teguh di persada seni tanahari.

“Saya kagum kerana walaupun sudah melebihi empat dekad Babah masih tetap diminati kerana bakat anugerah Illahi.

“Saya memang tidak boleh jadi seperti Babah tetapi saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik sebab itu selain menyanyi saya memilih bidang muzik sebagai mempelbagaikan bakat saya,” kata Yamani yang berbakat dan hebat memetik gitar dan kini menuntut di Fakulti Muzik, ASWARA.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa harus membiarkan bakat menyanyi begitu sahaja dengan belajar muzik yang baru baginya.

Namun memang tidak ramai yang tahu anak bujang Jamal Abdillah ini sejak kecil bukan sahaja boleh menyanyi malah meminati alat muzik seperti gitar.

“Saya memang minat memetik gitar dan saya mendalami bidang muzik kerana saya ingat pesan Babah kalau saya hadir sebagai penyanyi tanpa keistimewaan tersendiri ianya tidak akan ke mana.

“Babah pesan kalau sekadar mencari populariti ia tidak akan kekal. Kalau sudah ceburi bidang seni jadilah seniman atau biduan yang namanya akan kekal di hati para peminatnya meskipun seniman itu telah tiada seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Babah mahu saya menjadi artis dan pada waktu yang sama sebagai pemimpin orkestra. Saya hormat pandangan dan harapan Babah!

“Satu lagi, Babah selalu pesan untuk menjadi seorang Seniman atau Biduan sepertinya disiplin diri harus tinggi. Tanpa disiplin bakat yang ada tidak akan ke mana.

YAMANI Abdillah ketika kecil bersama babahnya, Datuk Jamal Abdillah.

“Impian saya untuk menjadi seorang penyanyi yang disenangi, komposer terkenal dan pemimpin orkestra yang berjaya,” kata Yamani.

Selain bakat, disiplin yang tinggi penting untuk kekal sebagai seniman dan biduan, penampilan juga memainkan peranan tersendiri dan apabila menyentuh penampilannya dengan bentuk badan yang agak besar, Yamani berkata;

“Saya tahu malah Babah selalu pesan penampilan diri amat penting dan kini saya dalam proses diet dan melakukan senaman untuk kuruskan badan. Saya tidak mahu ambil jalan mudah seperi mengambil ubat untuk kurus cepat kerana ia akan menimbulkan pandangan negatif daripada netizen!”

Menyentuh mengenai perkembangan terkini, Yamani yang baru muncul dengan “Takut Kehilangan” berkata;

“Insyaa-Allah saya akan berduet dalam lagu baru Babah yang akan dirakamkan tidak lama lagi.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here