Lepas insaf, Cikgu Ery mahu bantu rakan yang tersasar

0
567
Cikgu Ery mahu membimbing golongan komuniti disayangi menjalani kehidupan yang diredai Allah.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

UNTUK menjadi baik bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kekuatan iman, tambahan pula kalau diri pernah terjebak dalam kancah gelap.

Bagi Mohd. Khariri Mohamad Ramli, 43, atau mesra dengan panggilan Cikgu Ery, beliau bersyukur kerana mendapat hidayah untuk kembali ke jalan Allah sewaktu menunaikan umrah pada 2018.

Beliau yang ditemui pada program kecantikan dan kesihatan anjuran Persatuan Kebajikan Darul Modahish bersama usahawan tempatan di Klang, baru-baru ini, telah bercerita tentang kisah silam dan misi serta visinya.

Menurut Cikgu Ery, objektif utama beliau menganjurkan program tersebut adalah untuk memberi laluan dan peluang kepada usahawan tempatan baharu yang ingin mengetengahkan produk masing-masing.

Program yang turut disertai oleh usahawan Fatimah Eco Cake, Angsa Emas Beaute dan Butik Pengantin Demelza itu juga bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih erat bersama dengan usahawan tempatan.

Di samping itu selaku pengasas Persatuan Kebajikan Darul Modahish (PKDM), Cikgu Ery mahu menjadikan program tersebut sebagai platform untuk komuniti disayangi (golongan transgender) menjana pendapatan yang halal selain memberikan mereka ruang dan peluang untuk mengenali kehidupan yang lebih hakiki dan diredai.

Sering mengadakan program kecantikan dan kesihatan bagi menjalin hubungan dengan usahawan tempatan yang baru menapak dalam bidang perniagaan.

“Saya sebagai pengasas PKDM turut mengeluarkan produk-produk yang dihasilkan oleh komuniti disayangi dari Ipoh, Perak. NGO (pertubuhan bukan kerajaan) saya bukan saja membantu komuniti disayangi malahan membantu sesiapa jua terutama anak-anak asnaf dan yatim serta kerja-kerja kemasyarakatan.

“Penubuhan NGO ini adalah untuk membantu rakan-rakan saya terutamanya mereka dari komuniti disayangi yang masih lagi mencari pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini dengan mewujudkan pasukan jana ekonomi,” ceritanya terus terang.

Pada pandangan Cikgu Ery, belum ada NGO yang betul-betul mantap di dalam membantu rakan-rakan yang sama senasib dengannya (bekas mak nyah).

“Walaupun saya ini bekas seorang mak nyah, namun bagi saya cubit paha kira, paha kanan terasa. Kalau tak ada pihak atau individu yang berani untuk membantu mereka, masalah atau isu berkaitan dengan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) atau komuniti disayangi ini masih lagi ditakuk lama.

“Sebab itu saya harus melangkah ke hadapan untuk memberikan ruang dan peluang kepada mereka dalam menjana pendapatan yang halal. Saya punya visi dan misi bukan untuk komuniti disayangi saja, malahan untuk anak-anak kecil.

“Sebagai guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, saya melihat yang tegar dan yang baru bertunas, kedua-duanya saya ingin membantu mereka, di dalam mencari penyelesaian dan memilih kehidupan yang lebih terjamin,” katanya penuh semangat.

Jelas Cikgu Ery, melalui NGO yang diusahanya itu, beliau merancang untuk mengadakan kolaborasi dengan usahawan tempatan bagi membantu mempromosi produk yang dihasilkan oleh komuniti disayangi.

Tambahnya, perniagaan dan kebajikan mempunyai ikatan yang kuat dan sebab itulah beliau melakukan perkara tersebut serentak.

Bersama usahawan Fatimah Eco Cake (kanan) dan Butik Pengantin Demelza yang memberi sokongan kepada programnya baru-baru ini.

“Sebagai seorang aktivis dan pendakwah bebas, bagi saya inilah peluang untuk mengetengahkan produk usahawan tempatan di samping menarik mereka untuk membantu menggiatkan lagi kerja-kerja dakwah saya.

“Kerja dakwah saya ini bukan saja tertumpu pada komuniti disayangi, malahan ia meliputi segala aspek termasuk, gelandangan, anak yatim serta asnaf seperti yang saya lakukan sekarang ini.

“Sekarang saya mengajar tuisyen secara percuma kepada anak-anak yatim termasuk menyantuni rakan jalanan dan sebagainya. Sebab itu, perancangan saya adalah untuk menjalin hubungan yang lebih erat dalam kalangan usahawan tempatan,” katanya yang merupakan guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Moral dan Seni.

Beliau turut menyimpan impian untuk menubuhkan sebuah rumah perlindungan di Ipoh, bagi membantu penghidap HIV dan mereka yang kurang bernasib baik terutama daripada komuniti disayangi.

“Saya pilih Ipoh kerana di sana belum ada lagi rumah perlindungan sebegitu berbanding di Selangor. Untuk menubuhkan rumah perlindungan tersebut, saya perlukan sokongan ramai dan sebab itu saya buat acara begini.

Sifat Cikgu Ery yang ramah memudahkan beliau mendekati masyarakat setempat.

“Sekarang ini Jabatan Agama bagi setiap negeri berbeza-beza, bahagian zakat juga tidak ada peruntukan untuk komuniti disayangi atau transgender. Sebab itu saya kena bangun dan tak boleh meminta kerana masalah itu tidak akan selesai.

“Dengan izin Allah, saya dapat idea untuk memberi ruang kepada usahawan menjana pahala dan di waktu yang sama, saya dapat membantu rakan-rakan senasib seperti saya.

“Apa yang penting misi saya sekarang adalah membantu komuniti disayangi dan usahawan tempatan serta sesiapa jua yang mempunyai kaitan dalam misi dakwah saya,” jelasnya yang memerlukan kos kira-kira setengah juta untuk membina dan menyediakan peralatan untuk rumah tersebut.

Cikgu Ery tidak menafikan dalam usahanya untuk melakukan kebaikan, ada juga pihak yang akan menggali semula kisah silamnya. Baginya, semua itu adalah satu motivasi untuk dirinya menjadi lebih kuat di masa akan datang.

“Sebab cemuhan itulah yang menjadikan diri saya sentiasa sedar dan berpijak di bumi nyata. Bahawasanya, saya harus menjadi contoh dan ikon yang terbaik kepada generasi baharu. Kita tidak boleh nak mendidik seluruh masyarakat dan menyedarkan mereka yang kita ini sudah berubah. Walau apa sekali pun persepsi negatif tetap ada.

“Namun saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak, saya sentiasa memaafkan mereka walaupun keperitan dan kesengsaraan itu tetap ada. Saya ambil itu sebagai satu anjakan paradigma untuk saya lebih berjaya di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Beliau yang berubah sendiri tanpa paksaan tetap menyayangi dan menghormati rakan-rakan yang masih berada di dalam dunia gelap. Katanya, jika seseorang itu berubah dengan hati yang tulus ikhlas, insya-Allah, Allah akan membantu.

“Macam mana sekalipun kawan itu, saya tetap menyayangi dan menghormati mereka. Saya berubah dengan hati yang tulus ikhlas kerana Allah. Tidak ada paksaan, jadi sebab itu bila saya berubah dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang ini, maka saya pun mendidik, membimbing dan cuba membantu rakan-rakan saya dengan strategi begitu,” katanya.

Jelasnya, dalam berdakwah, beliau tak mampu mengubah seseorang, sebaliknya hanya boleh membimbing mereka. Pada waktu sama kita boleh memberi mereka ruang dan peluang untuk mengenali Islam dan Allah serta mencari kehidupan yang lebih terjamin.

Tambah Cikgu Ery, ada dalam kalangan rakan-rakannya yang sudah berubah tapi kembali ke kehidupan lampau kerana tidak ada sokongan.

“Kadang-kadang jiwa yang berubah ni ada masanya cepat tersentuh. Bila keadaan tertekan, dia perlu ada seseorang pemberi dorongan seperti saya. Sebab itulah saya cuba yang terbaik.

“Bila saya sudah berhijrah, saya bertekad dan berazam di Tanah Suci sewaktu umrah, untuk membantu sesiapa jua, sebab itu saya buat reviu produk percuma (usahawan baharu), saya bagi anak yatim percuma (mengajar) sebab itu adalah jiwa saya.

“Selepas berubah ni saya suka tolong orang, tapi kadang-kadang bila nak tolong orang ni, macam-macam orang fikir. Apapun, saya terima sebab ini adalah cabaran saya. Bila sudah berhijrah ini, ramai yang tak kenal saya, maklumlah saya ni bukan seorang jutawan, hanya pendakwah bebas saja,” katanya yang turut mengajar mengaji al-Quran dan Iqra, selain akademik secara percuma.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here