Ini bukan masa pilihan raya umum

0
1702
fotoBERNAMA

Oleh HAMZAH SIDEK

WAHAI rakyat Malaysia! Bangkitlah, mari kita tentang sebarang langkah dan tindakan untuk memaksa diadakan pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ini bukan masa untuk mengadakan PRU kerana kita sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Lihatlah apa yang baru berlaku di Sabah.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri diadakan kononnya untuk menyelesaikan kemelut politik yang berpunca daripada lompat-melompat kem disebabkan tiada parti yang berkedudukan majoriti mutlak.

Keputusan pilihan raya Sabah itu tidak pun menghasilkan kestabilan politik yang dikehendaki kerana tiada parti yang menang dominan.

Keadaan itu turut menyebabkan kelewatan pelantikan Ketua Menteri kerana puak yang menang bertelagah sesama komponen kerana masing-masing berasa layak dan berhak menjadi ketua eksekutif kerajaan negeri.

Walaupun akhirnya berlaku kompromi yang membolehkan Ketua Menteri baru dilantik, sejarah politik Sabah menunjukkan bahawa tiada jaminan bahawa muafakat antara gabungan boleh berkekalan.

Hasil yang diharapkan bukan sahaja tidak kesampaian, malah merugikan kerana belanja yang besar telah dihabiskan untuk mengadakan pilihan raya negeri itu.

Lebih mendukacitakan, pilihan raya itu diadakan ketika wabak Covid-19 sedang meningkat dan menular semula di Sabah.

Akibatnya, aktiviti berkempen dan membuang undi yang tidak menjamin SOP perintah kawalan dipatuhi, telah melonjakkan bilangan kes.

Betapa jumlah kes harian yang berjaya kita turunkan ke satu angka, akhirnya meningkat semula kepada dua dan seterusnya tiga angka.

Kini kebimbangan yang dihadapi di Sabah turut dibawa kembali ke Semenanjung oleh ahli-ahli politik yang berkempen di sana.

Peningkatan kes Covid-19 semakin ketara di Semenanjung pula.

Kerajaan mewajibkan setiap orang yang melawat Sabah menjalani saringan dan kurantin, tetapi adakah jaminan arahan itu akan dipatuhi oleh setiap orang, khususnya para pemimpin politik.

Walaupun dalam soal ini, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sendiri telah menunjukkan teladan yang baik dengan menjalani kuarantin apabila ada kakitangan yang rapat dengan mereka didapati positif menghidap Covid-19, ada juga kalangan orang politik yang ingkar.

Jika pilihan raya peringkat negeri telah mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 dengan kadar yang membimbangkan, bayangkan sekiranya diadakan PRU sekarang.

Malangnya ada kalangan pemimpin politik yang bertindak seolah-olah mahu memaksa diadakan PRU sekarang ketika jentera kerajaan dan rakyat sedang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

Yang anehnya kalangan pemimpin politik ini turut mendapat sokongan sebilangan besar ahli parti.

Dan lebih aneh betapa para pemimpin politik ini sentiasa kononnya berjuang untuk kepentingan negara dan rakyat.

Janganlah diperbodohkan diri sendiri dengan cuba membodohkan orang lain dalam perkara yang begitu ketara buruk baiknya.

PRU tidak layak diadakan ketika negara dan dunia sedang memerangi pandemik Covid-19.

Bodoh sungguh dan memang tidak layak seseorang pemimpin politik yang mahu merebut kuasa, memaksa PRU diadakan ketika ini. Memang sah dan nyata dia atau mereka tidak layak menjadi pemimpin negara.

Rakyat Malaysia bersama seluruh NGO yang benar-benar cintakan negara, marilah kita tentang dan halang sebarang usaha untuk memaksa diadakan PRU ketika pandemik Covid-19 masih mengamuk.

PRU hanya boleh diadakan setelah negara benar-benar pulih daripada wabak ini.

Sekarang tumpuan kerajaan, rakyat dan semua orang adalah untuk menjaga diri, keluarga, jiran, rakan dan negara daripada bahana Covid-19.

Keselamatan rakyat dan negara adalah juga tanggungjawab utama semua pemimpin dan ahli politik.

Sebarang tindak-tanduk yang bertentangan dengan prinsip ini hendaklah ditentang habis-habisan.

— BebasNews

Hamzah Sidek ialah mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirin mahu pun dasar bebasnews.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here