Dr M persoal manfaat lantik Anwar ke dalam Kabinet

0
697

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan sebab tidak melantik Anwar Ibrahim ke dalam Jemaah Kabinet Pakatan Harapan (PH) semasa di bawah pemerintahannya kerana presiden PKR itu tidak “memberi manfaat”.

Dalam temu bual dengan portal Malaysia Gazatte Mahathir berkata, semasa kerajaan PH memerintah, Anwar bertindak kritikal terhadapnya walaupun beliau berusaha mendapatkan pengampunan untuk beliau.

“Dia jumpa Raja-raja, dia jumpa (pemimpin) orang asing, dia bukan nak sokong saya sebaliknya dia pula yang kritikal terhadap saya. Jadi saya nak lantik dia ke Kabinet macam mana?

“Isterinya (Wan Azizah Wan Ismail) melaksanakan tugas dengan baik (dalam Kabinet), jadi kalau saya nak buang seorang (menteri) dan lantik dia (Anwar) ke Kabinet, saya kena fikir dulu, apa manfaatnya?,” katanya.

Mahathir berkata, beliau sememangnya sudah berjanji mahu melantik Anwar sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sama ada Anwar layak memegang jawatan itu akan ditentukan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, behubung dakwaan Anwar memiliki sokongan majoriti di Parlimen bukanlah pertama kali dilakukan oleh pemimpin tertinggi PKR itu.

“Pernah sekali tu Anwar dah ‘pakai baju’ dah, nak pergi istana dah, nak angkat sumpahlah…tetapi tak jadi.

“Kita tahu dia (dulu) tak ada majoriti…kali ini tak tahulah. Kalau benar, jatuhlah Muhyiddin (Yassin). Namun saya masih belum yakin dengan dakwaan tersebut,” katanya.

Mahathir juga berkata, kerajaan semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin cukup lemah.

“Hanya ada kelebihan 2 ahli Parlimen (yang menyokongnya), kalau dua-dua orang tu sakit perut, habislah,” katanya.

Pada 23 Oktober lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru dengan majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/10/01/dr-m-persoal-manfaat-lantik-anwar-ke-dalam-kabinet/

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here