Dari kanan, Arash Abdullah, Keith Ooi Kuan Keat dan Allan Goh pada hari pelancaran laman web berkonsepkan DIY, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SYARIKAT teknologi dan perisian digital pertama di Malaysia, Tronserve (M) Sdn. Bhd., memperkenalkan laman web berkonsepkan DIY (do it yourself) dan aplikasi mesyuarat maya, Link pertama di tanah air.

Laman web yang dibangunkan oleh anak tempatan dalam tempoh dua tahun di platform Tronserve itu, menyediakan pelbagai tawaran menarik seperti membina komuniti, peluang pekerjaan dan pengajian secara atas talian.

Selain itu, kemunculan Link dapat memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan sebarang mesyuarat atau interaksi secara maya pada mereka yang bekerja dari rumah, ekoran pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Arash Abdullah berkata, laman web yang memberi kemudahan kepada individu dan usahawan itu akan menjadikan ia sebagai platform terbaik bagi pelanggan untuk lebih berdaya saing seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 (IR 4.0).

“Sudah tiba masanya, kita menyesuaikan diri dalam mendepani gelombang perubahan gaya hidup dan cara bekerja. Platform yang kami sediakan ini dapat membantu rakyat Malaysia untuk menjadi individu yang lebih maju serta mahir dalam teknologi.

Arash Abdullah (kanan) memberi jaminan laman web yang dilancar oleh Tronserve mudah dan selamat digunakan.

“Laman sesawang yang diperkenalkan ini turut menampilkan beberapa cabang menarik seperti mencipta satu komuniti baharu yang dapat menarik lebih ramai badan korporat dan individu menyertai dan mengembangkan idea di dalam satu platform,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran platform laman web berkonsepkan DIY dan aplikasi mesyuarat maya pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Tronserve Link di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengasas Tronserve, Datuk Allan Goh dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Dr. Keith Ooi Kuan Keat.

Arash menjelaskan, laman sesawang yang dibangunkan oleh Tronserve itu turut memberi peluang pekerjaan bagi membantu syarikat dan rakyat yang saling mencari pekerja dan pekerjaan dengan lebih mudah dan berkesan.

“Menerusi platform yang disediakan, orang ramai boleh menimba ilmu apabila ia memberi ruang kepada tenaga pengajar dan pelajar bertukar bahan pelajaran secara atas talian.

“Laman web ini juga bersesuaian untuk golongan usahawan khususnya daripada kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS)  untuk mempromosikan dan menjalankan transaksi perniagaan bagi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada umum.

“Ia juga boleh dijadikan sebagai direktori untuk meningkatkan imej PKS dengan memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai syarikat,” ujarnya.

Tambah beliau, laman web tersebut memiliki ciri e-dagang yang selamat bagi memudahkan pelanggan membuat transaksi pembayaran selain fungsinya juga tidak terhad untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan berbanding menggunakan platform Instagram dan Facebook.

Apa yang penting, kata Arash, penubuhan laman web berkonsep DIY itu menawarkan tawaran harga yang berbaloi kepada mana-mana syarikat baharu, usahawan, mahupun individu yang ingin memilik laman web rasmi.

“Kami percaya laman web DIY akan lebih dekat dan memberi keseronokan kepada setiap individu untuk membentuk laman web mereka menjadi medan terbaik untuk dilayari bagi mempromosikan apa saja perkara yang ingin dikongsikan selain menawarkan pelbagai cabaran menarik di dalam satu laman web,” jelasnya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here