ROSLAN Buang (empat dari kiri) bersama skuad bola sepak Malaya. - Foto Imran Mohd. Roslan.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

DUA hari lalu, arena bola sepak Malaysia kehilangan seorang lagi legenda sukan itu, Mohd. Roslan Buang yang pernah mengalungkan negara dengan pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor kira-kira pukul 10.32 pagi selepas seminggu sebelumnya terjatuh di bilik air di kediamannya di Ampang Jaya, Ampang.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun.

Beliau yang juga legenda bola sepak Selangor, seangkatan Raja Bola Malaya, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Allahyarham Abdullah Yeop Nordin, mendiang Edwin Dutton, mendiang M. Govindarajoo, mendiang Stanley Gabrielle, mendiang Arthur Koh dan Ibrahim Mydin.

Allahyarham dikatakan mengalami hypertension dan angin ahmar selepas kejadian itu, lapor Twitter Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada 29 September lalu.

“Akibat kejadian itu juga, Allahyarham disahkan doktor, telah mengalami pendarahan dalam otak.

“Kata pihak hospital, Allahyarham sukar dibedah atas faktor usianya dan membenarkan kami membawanya pulang ke rumah.

KHALID Ali (kanan), legenda Kelayakan Olimpik 1980, berbual dengan isteri Mohd. Roslan Buang (terlantar), Sabariyah Zainal Abidin. Kiri ialah seorang lagi anak Roslan, Rosniah. – Foto Yakeb.

“Selepas tiga hari kami menjaganya, Allahyarham dimasukkan ke hospital semula pada Jumaat lalu dan doktor di situ mendapati tahap oksigennya semakin rendah iaitu pada 50 peratus sahaja.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sabariyah Zainal Abidin, 81 dan tiga anak (dua lelaki dan seorang wanita) serta 13 cucu,” kata anak bongsunya, Imran Mohd. Roslan.

Roslan dilaporkan dalam media tempatan, kerap bermain sebagai bek kiri dan pernah mendapat gelaran ‘Trojan’ kerana corak permainan keras selain gemar melakukan larian kencang dari sisi dan membuat hantaran lintang.

“Arwah bapa saya juga pernah memberitahu, posisi lainnya ialah bek tengah yang kerap membantu bahagian perantara,” kata Imran.

Skuad negara bimbingan mendiang Choo Seng Quee, menewaskan Vietnam Selatan 4-1 untuk merangkul pingat gangsa Sukan Asia Jakarta pada perlawanan penentuan tempat ketiga, 3 September 1962.

Dua hari terdahulu Malaya ketika itu dihampakan Korea Selatan 2-1 dalam separuh akhir yang berlanjutan ke masa tambahan.

Dalam saingan peringkat awal Kumpulan A, Malaya membelasah Filipina 15-1 termasuk empat gol masing-masing oleh Stanley dan Arthur serta hatrik Ghani, Indonesia 3-2 namun ditewaskan Vietnam Selatan 3-0.

Anggota lain skuad berkenaan ialah mendiang Sexton Lourdes, Tunku Ismail, Yee Sin Choy, Allahyarham Ahmad Nazari Min Zohari, Kamaruddin Ahmad, Boey Chong Liam, Inder J. Singh, Robert Choe, Mahat Ambu dan Richard Choe.

Allahyarham juga merupakan anggota skuad negara juara Pestabola Merdeka 1960 bersama Korea Selatan setelah terikat 0-0 sehingga masa tambahan perlawanan akhir pada 14 Ogos 1960 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Turut dimenangi Roslan bersama-sama Ghani, Arthur dan mendiang Datuk M. Chandran dalam pasukan Selangor ialah Piala Malaya antara akhir era 50-an dan awal 60-an.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here