Buku politik Tuk Ketua. Politik haru-biru

Oleh Dato Prof Emeritus Hashim Yaacob

DATO’ Profesor Rahman Shaari, pandai Bahasa, Sastera dan Budaya yang peka kelih gelagat orang politik telah menulis sebuah buku berjudul POLITIK TUK KETUA — Yang Muram & Yang Tenteram terbitan Pekan llmu Sdn Bhd 2020.

Sekarang di pasaran. Buku ini menceritakan tentang politik semasa yang tidak lagi boleh dijangka, kerana banyak isu yang cair, boleh berubah dalam dua tiga kelip mata saja.

Setelah membaca buku ini saya menjadi lebih maklum akan dunia politik negara ini yang berliku lagi samar. Saya menjadi lebih mengerti mengapa saya sering mendengar rakyat semakin tidak senang dengan ahli politik pada waktu ini, apabila menemui buku ini.

Banyak cerita dan pendapat penulis dipaparkan.

Yang baiknya ialah penulis tidak partisan atau menyebelahi mana-mana parti politik atau pemimpin.

Rahman menutup bahagian pengenalan kepada bukunya dengan sebuah puisi yang tajam:

Siapakah yang bersembunyi itu
mari berdepan denganku
jangan silu, kita sama-sama tahu.

Di pentas tadi kau bersuara
hebat bicara
rakyat perlu dibela,
tapi kau melupakan rakyat
gaji penuh kerja sekerat.

Peristiwa Tanjung Piai dan Kimanis menyorot kisah tersendiri. Mahathir mengatakan keputusan PRK Kimanis tidak membawa makna besar kepada PH, tetapi penulis merasakan keputusan PRK itu ialah manifestasi rasa bosan terhadap kerajaan PH. Pengundi dapat merasa betapa kacaunya hubungan antara pemimpin-pemimpin dalam PH.

Sikap pengundi tersebut telah menyebabkan keruntuhan kerajaan itu.

Maka berkatalah Rahman:

Yang aku tahu pasti
kalian saling tidak menyukai
Kalian akan dihentikan
kumpulan lain ambil giliran.

Tapi ingatlah
yang baru jangan hanya nama
benang kusut
tidak sama belitannya.

Persatuan tidak kukuh
kawan tapi musuh
seluruh akan jatuh.

Dengan gaya bahasa mudah tetapi menarik Rahman menggambarkan politik Malaysia secara umum, teori kekenalan, politikus yang muram dan yang tenteram, juga aspek memilih pemimpin.

Ada cerita Anwar dan reformasinya, PRK Tanjung Piai dan Kimanis yang membawa padah. Ada cerita Haji Hadi Awang berjumpa Mahathir, politik dan ekonomi serta keadan politik terkini.

Dalam bab penutup Rahman memberitahu pembaca serba sedikit mengenai Mahathir, Muhyiddin, Tengku Razaliegh, Anwar, Mohammad Sabu, Rais Yatim, Hadi Awang, Zahid Hamidi, Ezam Mohd Nor, Lim Guan Eng, Nurul Izzah, Maszlee Malek, Wan Saiful, dan ramai lagi.

Anwar Ibrahim katanya akan ke Istana Negara Selasa ini.
Bacalah buku ini sebelum beliau tiba.

Buku ini boleh didapati daripada pengarangnya di talian 013 326 0740 yang mengakiri bukunya dengan kata:

Isi raga tuk ketua bukan sayuran dari pasar. Tuk ketua bijak menyembunyikan cita-cita yang amat besar.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here