Perlu ada ekosistem pembiayaan IKS Halal

0
209
SHAH Mohd Ali

Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR –- Isu kesukaran mendapat pembiayaan dalam Industri Halal Kecil dan Sederhana (IKS Halal) perlu ditangani segera dan tidak dibiarkan terus berlanjutan.
Namun, perkara ini sukar diselesaikan sekiranya semua pihak tidak mengubah-
minda mereka dan mewujudkan satu kerjasama antara kerajaan, institusi kewangan dan pemudahcara teknologi , kata Pengarah Produk dan Inovasi Privasia, Shah Mohd Ali.

Shah bimbang tumpuan yang diberikan terhadap pandemik menyebabkan pemasalahan itu akan terpinggir, sambil mengingatkan bahawa apa sahaja boleh berlaku nanti sehingga menjejaskan industri, dapatkah ia ditangani?

Beliau berkata, masalah modal tidak timbul kerana ia mencukupi, apa yang menjadi persoalan hanyalah keperluan menyediakan akses untuk mendapatkannya yang gagal diselesaikansecara tuntas untuk sekian lama.

“Kita perlu bertindak pantas sebelum tertinggal dari segi teknologi, usahawan terkemuka dunia, Elon Musk telah pun melancarkan kapal angkasanya dan kenderaan bergerak sendiri sudah pun menjadi kenyataan,

“Apa yang berlaku lima tahun dahulu tidak sama dengan sekarang, begitu juga lima tahun yang datang,” kata beliau sambil mengakui bahawa kerajaan melalui agensinya telah melakukan sesuatu seperti MDEC untuk membentuk ekosistem yang diperlukan tetapi ia tidak akan berlaku direalisasi dengan pantas.

Shah menjelaskan, pandemik Covid-19 telah menjejaskan usaha IKS Halal mendapatkan pembiayaan institusi kewangan tidak dapat melakukan penilaian kredit dan proses kelulusan juga memakan masa.

Penilaian kredit itu tidak boleh dibuat seperti mana sebelumnya berikutan ketiadaan rekod di pihak pengusaha IKS Halal setelah operasi perniagaan mereka terhenti akibat berlakunya penularan wabak berkenaan.

Shah menyifatkan apa yang berlaku berpunca daripada kegagalan institusi kewangan dalam operasi mereka sambil menambah, pihaknya bersedia membantu dengan mengadakan platform pembiayaan yang telus.

“Untuk mengadakan platform tidak memerlukan masa yang lama tetapi untuk mendapatkan semua pihak berunding tentang apa yang boleh dilakukan bukan mudah.
“Kami, bagaimanapun hanya pemudahcara teknologi untuk menjayakannya dan kerajaan serta institusi kewangan perlu bekerjasama membantu meningkatkan keupayaan IKS Halal dengan membentuk satu ekosistem yang kondusif.

Sementara itu, Ketua pegawai Eksekutif Silverlake, Othman Abdullah pula berkata, selain institusi kewangan, IKS Halal boleh beralih kepada pembiayaan alternatif seperti pendanaan awam atau crowdfunding, P2P atau sebagainya.

Katanya, bagi pembiayaian alternatif biasanya terdapat pihak-pihak termasuk ‘angel’ yang bersedia menawarkan diri mereka untuk membiayai sesuatu projek sekiranya mereka yakin dengan pelan perniagaannya.

OTHMAN Abdullah.

Sementara itu, kata Othman, pengusaha IKS Halal berkenaan juga masih boleh mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi kerajaan.

Beliau juga bersetuju bahawa pandemik yang berlaku telah meningkatkan penerimaan ramai terhadap pembiayaan alternatif.

Menurut Shah, pembiayaan bukan tradisional yang biasanya berteraskan teknologi digital lebih memudahkan usaha mendapatkan dana institusi kewangan yang biasanya mengutamakan keuntungan jangka pendek.

Beliau mengakui terdapat banyak platform digital yang ditawarkan bagi tujuan pembiayaan tetapi soalnya adakah mereka saling berhubungan antara satu sama lain.

Pembiayaan alternatif atau bukan tradisional mendapat sambutan baik, malangnya tahapnya tidak mencapai ke skala yang diharapkan, kata Shah yang menyatakan keadaan berlaku kerana masalah ia tidak kelihatan atau kurangnya kesedaran.

Shah berkata, agensi kerajaan, insitusi kewangan dan pemudahcara teknologi tidak boleh bergerak bersendirian tetapi sebalik bekerjasama untuk memberikan impak yang diharapkan.

Beliau berkata, kesukaran berbuat demikian hanya berpunca daripada cara pemikiran lapuk di mana semua orang mahu melakukan segalanya bersendirian supaya menampakkan diri mereka juara sedangkan ia hanya mengundang kegagalan.

“Kita tidak mungkin dapat melakukan segala-galanya secara bersendirian dan pemikiran lapuk yang masih ada dalam kalangan kebanyakan kita,, saya mahu menerajuinya dan melakukan semuanya sekali,” kata beliau.

Sementara itu, Othman juga menjelaskan, bagi mendapat pembiayaan bukan tradisional, seseorang masih perlu mempunyai pelan perniagaan yang baik dan mampu membentangkan kes perniagaannya dengan menyakinkan.

“Sekiranya anda gagal berbuat demikian, tiada pihak yang akan menyokong dan anda tidak mungkin dapat pembiayaan yang dikehendaki,” kata beliau.

Menurut Shah, usahawan-usahawan muda seringkali melakukan kesilapan ketika membentang pelan perniagaan apabila mereka lebih membesar-besarkan tentang teknologi yang bakal digunakan dan bukannya penyelesaian yang ingin ditawarkan.

Katanya, institusi pengajian tinggi turut memainkan peranan dalam melatih bagaimana usahawan mampu mempunyai kes yang kuat apabila membentangkan pelan perniagaannya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here