PRK Batu Sapi dan impian Presiden PKR

0
539

ADA apa pada tarikh 13 Oktober 2020? Rakyat terutama orang politik menantikan tarikh ini. Adakah kerajaan akan berubah sekaligus menjadikan impian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri satu kenyataan?

Dan tidak kurang penting juga apakah formula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi benar-benar selamat?

Anwar sebagai Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 13 Oktober.

“Pada majlis menghadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Anwar mendakwa sudah mempunyai angka yang cukup bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Yang putih jadi hitam dan sebaliknya. Hari ini lain, esok lain.

Apa pun keputusan istana, diharapkan ia tidak menimbulkan masalah kepada rakyat yang sedang dibelenggu wabak Covid-19 ini.

Ketika orang politik begitu ghairah dengan rebutan ‘takhta dan kuasa’, keselamatan dan kesihatan rakyat jangan diabaikan. Cukuplah pengalaman semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Pada Selasa hari yang sama juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan PRK setelah mendapat makluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman itu. Tidak ada peruntukan yang boleh menghalang PRK itu bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Kong (Warisan) pada 2 Oktober lepas.

Namun dalam suasana sekarang, ketika kes penularan Covid-19 terus meningkat yang sebahagiannya kesan daripada PRN Sabah, apakah formula SPR bagi memastikan PRK itu benar-benar selamat?

Setakat ini, dua PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim berlangsung dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan virus itu.

Sehingga semalam, dua parti politik menyatakan hasrat tidak akan bertanding.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak akan bertanding bagi mengelak penularan pandemik Covid-19. Sebelum ini, BN pernah menguasai kerusi Batu Sapi.

Sementara Setiausaha Agung Parti Cinta Sabah (PCS) Ansari Abdullah berkata, keputusan tidak bertanding dibuat selepas mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Warisan sudah pasti akan mempertahankan kerusi itu, tetapi bagaimana pula pendirian Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) ?

Untuk rekod, Pas, SAPP dan PBS juga pernah bertanding di kawasan itu. Begitu juga PKR.

Pada PRU lalu BN gagal mempertahankan kerusi itu selepas Warisan menang dengan majoriti 4,619 sementara calon Pas dan Amanah hilang wang pertaruhan.
BN juga tewas bagi kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Sapi iaitu Sekong dan Karamunting yang dimenangi Warisan.

PRN baru-baru ini, Warisan menang di kedua-dua kerusi DUN itu. Bagi N53 Sekong, dalam pertandingan enam penjuru Warisan menang dengan mendapat 5,937 undi berbanding BN 4,338 dan di N54 Karamunting, Warisan memperoleh 5,694 undi berbanding BN 3,215.

Mungkin tanpa penyertaan BN, Warisan lebih mudah untuk menang atau mungkin menang tanpa bertanding. Mungkin juga, jika PN menyertai pertandingan ini, peluangnya juga ada. Diharapkan suasana PRK lebih terkawal berbanding PRN.

Apa pun kita tungggu 13 Oktober. Lihat apa terjadi kepada PRK dan Presiden PKR.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here