Bukan sekadar jaguh kampung

0
456
Sharifah Shawati Syed Mohd

Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR –- Benarkah, para pengiat industri fesyen halal tempatan hanya sekadar jaguh kampung? Tanggapan ini dinafikan Ketua Pegawai Eksekutif Adamaya Consultancy and Services Sdn Bhd, Datin Sharifah Shawati Syed Mohd.

Sambil menolak sekeras-kerasnya, beliau berkata, pengerak fesyen dahulu kurang berada di pentas sejagat kerana mereka tidak mampu.

“Dalam era digital, pengiat fesyen sudah memperkenalkan produk-produk jenama mereka melangkaui sempadan negara, bahkan ia menjadi kaedah baharu perniagaan,” kata Sharifah Shawati kepada BebasNews di sini.

Tambah beliau: “Sesiapa sahaja boleh menjadi jaguh jika mempunyai konsep yang baik dan luar biasa.

Beliau mengakui kini terdapat ramai pereka fesyen di Malaysia, dan perkembangan ini mencetuskan fenomena luar biasa apabila terdapat banyak pencipta tudung, pakaian labuh dan besar yang menepati ciri-ciri kesopanan dan etika berpakaian.

“Kita dapat lihat, (pelakon) Neelofa dijemput ke luar negara oleh pereka fesyen terkenal untuk mengayakan pakaian mereka. Bukan model sahaja diambil untuk mempromosikan pakaian ini tetapi juga ‘influencer’ yang bertudung, mula jadi perhatian,” kata beliau.

Jelas beliau, fesyen ‘modesty wear’ yang beradap dan berhijab bukan baharu kerana dunia beralih kepadanya sejak tahun 2016 atau lebih awal apabila ‘shawl’ atau ‘turban’ menjadi pilihan selebrati-selebriti luar negara.

Penggunaannya juga tidak mempunyai kaitan dengan amalan sesuatu agama tetapi sekadar fesyen yang diolah menjadi lebih moden dan lebih bergaya, kata beliau.

Sharifah Shawati menjangkakan dalam tempoh sekarang hingga 10 tahun akan datang, lebih banyak fesyen ‘modesty wear’ yang bakal diperkenalkan terutamanya dengan kemunculan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Pereka tempatan boleh terlibat dengan menghasilkan sesuatu seperti pelitup muka terdiri pelbagai jenis bukan hanya sekadar memberikan perlindungan kepada penggunanya tetapi juga untuk tujuan melaram.

Beliau berkata, ketika kawalan pergerakan terhad, pereka fesyen Melinda Looi telah menghasilkan pakaian pelindungan diri atau PPE dan sebagainya bertujuan membantu petugas-petugas di barisan hadapan.

Penghasilan ini memberikan nilai tambah dalam bidang fesyen dalam mengetengahkan bakat dan rekaan pereka berkenaan, jelasnya.

Sementara itu, Sharifah Shawati menyarakan pengiat fesyen menyertai persatuan untuk memudahkan mereka dibantu bagi mengembangkan operasi sama ada di peringkat tempatan dan luar negara.

“Mereka lebih mudah mendapatkan bantuan termasuklah geran dan pinjaman yang disediakan kerajaan dan sebagainya, jika berkumpul dalam persatuan.”

Sharifah Shawati berkata, terdapat ramai pereka fesyen terkenal dan juga pendatang baharu masih memerlukan bantuan kewangan kerana banyak modal diperlukan untuk memulakan produksi dalam industri fesyen yang berubah dengan pantas.

Melalui persatuan, pengiat fesyen ini mudah memperkenalkan jenama mereka dan diundang menyertai mana-mana pameran meskipun pada awalnya tidak laku sangat, tetapi pendedahan berikutnya akan membuka peluang-peluang baharu,” kata beliau turut menganggotai Persatuan Pereka Bumiputera.

Shahrifah Shahwati menasihati pengiat fesyen tidak menghasilkan produk mereka dalam kuantiti yang besar memandangkan perkembangan ekonomi semasa menyebabkan pembeli berfikir dua kali sebelum berbelanja.

“Dalam perniagaan kami, tidak boleh tidak produk baharu terpaksa dihasilkan, yang sedia ada perlu ditukar, tidak boleh menggunakan yang lama, jika sudah enam bulan ia dikira basi dan kena bagi diskaun jika menjualnya,” kata beliau.

Katanya, lagi, untuk melakukan rekaan baharu dan lain-lain, pereka fesyen perlu lebih berhati-hati mengikut trend pengguna berbelanja.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here