Halal tapi kenapa masih ragu-ragu

0
259
Sebahagian daripada peserta yang menghadiri 'World Halal Conference 2020' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh Wartawan BebasNews

KETIKA orang luar mengangkat ibu jari sebagai tanda hebat bila memperkatakan tentang industri halal Malaysia, tidak kurang juga rakyat tempatan sendiri mempersoalkan realiti sebenar yang berlaku dalam negara.

Ramai yang masih ragu-ragu untuk memasuki sesebuah premis makanan dan tertanya-tanya sama ada logo produk halal yang pamer itu sahih atau sebaliknya. Di pasar raya besar, ada lagi yang membelek-belek ayam yang dijual, sama ada betulkah cara sembelihannya.

Manakala di peringkat industri, bilangan pengusaha kecil dan sederhana yang menerima pakai persijilan halal adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah sebenar pengiatnya. Bahkan, usaha melahirkan komuniti halal yang besar di Malaysia, masih jauh panggang dari api.

Bukankah halal tidak terkait pada soal agama semata-mata tetapi produk patut dijadikan pilihan kerana selamat dan berkualiti

Di manakah silapnya? Mungkinkah sikap tidak kisah atau ambil mudah menyebabkan ini berlaku. Adakah asal tergantung ayat quran dan pekerja bertudung atau orang Melayu pastinya halal. Tentunya keadaan berbeza apabila seseorang itu berada di luar negara, kita akan berusaha mencari kepastian untuk menghilangkan keraguan.

Ironi sekali. Bukankah Malaysia kini menjadi sumber rujukan lebih 150 buah negara dalam pelbagai bidang melibatkan pembangunan dan tadbir urus Industri halal. Di luar negara, pula 84 penentu sah halal asing di 46 negara mengiktiraf persijilan kita.

Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Datuk Mahmud Abbas ketika berlangsungnya World Halal Conference 2020 di Kuala Lumpur, berkata, mengeluarkan sijil halal bukan peranan perbadanan itu tetapi tugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tetapi, kata beliau, HDC dan JAKIM bekerjasama erat sebagai ‘sebuah badan’ untuk meningkatkan industri halal negara.

Timbul tanda-tanya kenapa seolah-olah wujud perkembangan atau pencapaian yang tidak seragam dalam dan luar negara. Barangkali HDC hanya sekadar ‘syok sendiri’ tentang pencapaiannya atau JAKIM masih kurang agresif?

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hairol Arrifien Sahari menyalahkan kurang kesedaran sebagai antara punca pemahaman yang tidak tepat tentang persijilan halal. Terdapat mereka yang mengatakan sukar untuk mendapatkan persijilan halal atau memilikinya tidak memberikan kesan kepada perniagaannya.

Beliau berkata memiliki sijil halal sahaja tidak mencukupi untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat tinggi kerana banyak aspek lain seperti penjenamaan, pembungkusan, harga dan strategi pemasaran perlu diambil kira.

Namun begitu, kata Hairol, pihaknya kini berusaha memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak berwajib lain untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk mencapai piawaian yang melayakkan pemberian status halal dan mengangkat mereka ke tahap lebih tinggi di peringkat dunia.

Benar kata Hairol, ada juga negara lain yang memulakan 40 tahun lalu, masih gagal untuk berkembang seperti diharapkan. Namun, apa yang diharap ia bukan alasan penyelesaian yang jitu dicari untuk untuk melangkah lebih jauh.

Kata orang, kejayaan bermula dari dalam sama diri atau negara. Oleh itu, pastinya keupayaan untuk meningkatkan kefahaman tinggi dan mengiatkan lagi penerapan persijilan dalam negara akan memberikan keberuntungan bagi usaha di luar negara.

Pastinya kita tidak mahu para pelancong muslim yang datang ke Malaysia tertanya tahap halal di Malaysia, ketika kemahiran tempatan dieksport ke luar negara.
Menurut para pemerhati industri, semua pengiat tidak boleh bergerak sendiri dan masa tidak akan menunggu sesiapa.

Tidak ada siapa yang menafikan bahawa industri halal tempatan masih mempunyai potensi yang besar untuk berkembang. Namun tanpa komitmen yang benar dan jitu. Sukar untuk mencapai kejayaan sebenar.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here