Pulau Pinang perhalusi inisiatif untuk nelayan yang terkesan dalam  projek PSR 

0
692

GEORGE TOWN — Kerajaan Pulau Pinang sedang memuktamadkan pakej pampasan kepada nelayan yang terlibat dalam pelaksanaan projek mega tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dengan memperhalusi beberapa perkara yang dapat memberi manfaat kepada golongan tersebut.

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata Jawatankuasa Petugas Nelayan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sedang memperhalusi inisiatif, langkah-langkah mitigasi dan mekanisme pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

“Pandangan dan maklum balas nelayan adalah perkara serius yang akan dilihat oleh kerajaan negeri dan ia akan dilakukan dengan teliti dalam projek di negeri ini,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Zairil Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah berkata di bawah SIMP untuk projek PSR itu, kerajaan negeri sedang memuktamadkan pakej ex gratia dan elaun bulanan yang akan diberikan kepada nelayan tersebut.

Beliau berkata selain pakej bantuan hidup itu, pihaknya sedang mengkaji pakej pemerkasaan yang akan memberi manfaat kepada nelayan di kawasan itu dengan membina jeti baharu nelayan, koperasi nelayan, skim tuisyen dan pendidikan untuk anak-anak.

“Selain itu, kita juga sedang merangka untuk menyediakan latihan skim untuk nelayan dan anak-anaknya,  peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelayakan serta memberi keutamaan bagi pendaftaran rumah mampu bagi membantu nelayan yang belum memiliki rumah sendiri,” katanya.

Zairil Khir berkata kerajaan negeri melalui pejabat dan agensi yang berkaitan sedang mengumpul maklumat terperinci bagi merangka pakej yang mengutamakan keperluan dan kehendak nelayan dengan sebaik mungkin.

Katanya, pada masa ini secara keseluruhannya, projek PSR telah mendapat kelulusan wajib yang diperlukan daripada kerajaan Persekutuan.


— BERNAMA 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here