Gol Safee, Safawi dicalonkan ‘Cabaran Berapit Piala AFC’

0
688
AKSI Safee Sali bersama JDT pada 2015. - Foto FB Safee.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

DUA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali dan Safawi Rasid dicalonkan dalam pengundian ‘Cabaran Berapit Piala AFC’ berdasarkan gol-gol mereka dan 30 lagi pemain kelab Asia sepanjang sedekad ini sejak 2010.

Pencalonan Safee yang kini bersama PJ City FC dan Safawi yang dipinjamkan ke SC Portimonense, Portugal sejak Rabu lalu, diumumkan laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com.

Pusingan pertama ‘Cabaran Berapit Piala AFC’ ini menemukan Safee Sali dengan A. Annaduroyyev manakala Safawi berentap dengan K. Bani Atiyah.

Tidak dipastikan gol Safee mahupun Safawi sepanjang penampilan mereka dalam Piala AFC manakah yang dinilai dalam pengundian ini jika melihat carta 32 calon dalam laman berkenaan.

Safee pernah menyarung jersi merah biru ‘Sang Harimau Selatan’ dari 2013 hingga 2017 dan ada kemungkinan besar, pencalonan the-afc.com, merujuk kepada gol libasan kaki kanan ala sepak takrawnya terhadap East Bengal (India) dalam saingan Kumpulan F Piala AFF 2015.

Penjaring terbanyak Piala AFF 2010 bersama Harimau Malaya itu, tewas 46 berbalas 51 peratus undi kepada pemain kelab Hanoi FC, Nguyen Van Quyet dalam pengundian ‘5 Gol Akrobatik Terbaik Piala AFC’, 25 Jun lalu.

Ada kemungkinan juga Safee bertembung dengan Safawi sekiranya masing-masing berjaya mara sehingga separuh akhir cabaran ini.

Pada 11 September lalu, gol rembatan kidal Safawi sejauh 22 meter terhadap Shandong Luneng (China) dalam ACL 2019 dipilih sebagai pemenang ‘Gol ACL Dekad Ini’ selepas meraih 34 peratus atau 6,777 daripada 19,933 undi.

Pengundian bagi memilih pemenang gol paling cantik saingan liga kelab Asia kedua selepas Liga Juara Asia (ACL), dibuka kepada para pelayar laman itu secara atas talian mulai hari ini.

Butiran jelas identiti pemain lain dan pasukan mereka serta rakaman video gol-gol yang dicalonkan, dijangka disiarkan the-afc.com, hari ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here