Rapsodi Malaysia bersama OTM di Istana Budaya

0
315
Mohd. Yazid Zakaria (dua dari kiri), Zaiton Md. Desa dan Haziq bersama anggota OTM pada majlis sidang media Raspodi Malaysia bersama OTM, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BILA sebut lagu tradisional atau klasik, automatik kita akan kata itu lagu untuk golongan veteran, sedangkan muzk tiada batasan usia kerana setiap daripada kita mempunyai cita rasa tersendiri.

Adalah lebih bermanfaat jika lagu tradisional yang merupakan warisan budaya itu diangkat dan dipopularkan seiring dengan kepesatan muzik terkini agar terus berkembang.

Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Mohd. Yazid Zakaria yang telah mengadakan persembahan di pelbagai tempat termasuk di pusat pengajian tinggi, tidak menafikan ada yang berfikiran negatif bila sebut irama tradisional.

“Bila sebut tradisional saja, semua orang akan berfikiran negatif, kata itu lagu untuk orang tua. Persepsi itu salah. Berdasarkan pengalaman saya bersama OTM bila mengadakan persembahan terutama di universiti, kita tahu mereka (pejalar) dipaksa datang.

“Tapi pandangan mereka terus berubah apabila menikmati persembahan OTM dan jangan terkejut ramai daripada mereka yang suka dengan lagu-lagu tradisional dan klasik yang diketengahkan.

Haziq bakal mendendangkan lagu Makan Sireh pada hari konsert yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Oktober ini di Istana Budaya.

“Kita jangan ada persepsi bahawa lagu-lagu lama untuk orang tua. Sebab kita sendiri tak bertanggungjawab untuk mempopularkan balik lagu tradisional. Saya harap semua pihak dapat bekerjasama untuk menggemblengkan lagu-lagu tradisional,” katanya pada sidang media program tersebut baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md. Desa dan penyanyi, Haziq.

Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang seni muzik tradisional sejak tahun 90-an itu yakin, konsert Rapsodi Malaysia bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bermula pada pukul 8.30 malam, 23 hingga 24 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya, mendapat sambutan daripada penonton pelbagai lapisan usia.

Tegas Yazid, antara faktor lain yang mampu mendorong orang ramai untuk menonton konsert tersebut kerana dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tidak ada program yang seumpama itu.

“Konsert ini diadakan untuk menggalak masyarakat supaya lebih menghargai kesenian tradisional tempatan dan menyuburkan semangat perpaduan di antara masyarakat berbilang bangsa Malaysia.

“Lagipun lagu-lagu yang dipilih berdasarkan matlamat memulihara teater tradisional Malaysia sebagai warisan negara dan menyemarakkan lagu tradisi yang diguna pakai di dalam filem Melayu klasik,” jelasnya.

Tambahnya, pementasan konsert yang dijayakan oleh barisan penyanyi muda seperti Haziq, Khai Bahar, Shiha Zikir dan Asmidar itu akan ditampilkan dalam dua segmen.

Untuk pembukaan konsert, penonton akan dihiburkan dengan segmen asli iaitu persembahan muzik tradisional wayang kulit, mak yong dan mak mulung.

Sementara segmen kedua pula, berkonsepkan lagu-lagu bangsawan dan filem Melayu klasik, antaranya, Syair Panca Delima, Perigi Biru, Gurindam Jiwa, Makan Sireh, Semerah Padi dan Itulah Sayang.

Konsert yang dijangka berlangsung selama satu jam setengah itu menawarkan harga tiket bermula dari RM50 hingga RM150 yang boleh dibeli melalui ejen tiket, Ilasso Ticket di illasotickets.com sejak 5 Oktober lalu.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Istana Budaya dan Unit Promosi Istana Budaya di talian 03-40265555.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here