Empat cawangan Bubblebee ditutup serta-merta

0
1372
Kedai minuman Bubblebee cawangan Sentul (sewaktu perasmian) antara yang ditutup sert-merta.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PELAWAK dan penyampai radio Hot FM, Shuib Sepahtu, bukan ditahan seperti beberapa individu lain. Beliau hanya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM 2001.

Namun berita Shuib yang dijemput pihak SPRM di kediamannya pada pukul 4 pagi, 1 Oktober lalu dan selesai memberi keterangan pada pukul 7 malam pada hari yang sama, ternyata memberi kesan kepada perniagaan minuman yang diusahakan oleh Shuib iaitu Bubblebee.

Shuib, suami kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat Bubblebee Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada penghujung tahun 2019.

Tidak mahu orang ramai terus beranggapan negatif terhadap jenama Bubblebee, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismail Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini (12 Oktober) menyatakan empat cawangan Bubblee akan ditutup.

“Sehingga hari ini, kami mempunyai 17 cawangan di seluruh negara. 11 cawangan merupakan milik penuh Bubblebee manakala enam cawangan lagi dibuka secara usaha sama.

Shuib Sepahtu merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat Bubblebee Sdn. Bhd yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkaitan pengubahan wang haram.

“Sehubungan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usaha sama dengan kesemua rakan usaha sama yang menguruskan empat cawangan berikut: Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh.

“Penamatan ini berkuat kuasa serta-merta. Keempat-empat cawangan di atas juga akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee. Pembukaan semula keempat-empat cawangan ini akan diumumkan di platform komunikasi rasmi kami selepas proses pengambilalihan selesai,” jelasnya.

Tambah Ismail, pihaknya sedar, belakangan ini tular berita mengenai rakan usaha sama mereka yang disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee.

Hal ini turut menyebabkan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah mereka telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usaha sama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas, siasatan ke atas rakan usaha sama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

“Kami mengucapkan terima kasih dan selamat berjaya kepada semua rakan usaha sama yang telah menyokong jenama minuman kami selama ini. Kami juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam semua urusan.

“Sebagai sebuah syarikat, kami komited untuk terus membangunkan jenama minuman ini di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sesungguhnya, sokongan semua pihak tidak akan kami persiakan,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here