Sepak mula Piala Malaysia ditunda lagi, 6 November

0
339
AB. GHANI HASSAN

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SEPAK mula Piala Malaysia 2020 yang dijadualkan pada 25 Oktober ini selepas ditunda dari 16 Oktober, dipinda lagi ke 6 November ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 hingga 27 Oktober ini.

PKPB yang dikenakan akibat peningkatan kes penularan pandemik Covid-19, turut menyebabkan majlis undian Piala Malaysia musim ini yang hanya berformat kalah singkir, ditunda ke 1 November berbanding jadual sebelumnya, 19 Oktober setelah turut dipinda dari 12 Oktober.

Perubahan tarikh itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan dalam laman Facebooknya hari ini.

“Pindaan ini telah mengambil kira tarikh perlawanan Kumpulan G Liga Juara Asia (ACL) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari 19 November hingga 4 Disember ini di Qatar.

“Justeru pusingan pertama Piala Malaysia yang melibatkan 16 pasukan akan berlangsung dari 6 hingga 8 November, suku akhir 12 dan 13 November, separuh akhir 17 November 2020 dan perlawanan akhir, 22 November,” katanya.

Empat pasukan yang layak ke Piala Malaysia 2020 iaitu Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur, turut berada dalam zon merah Covid-19 dan menjalani PKPB sementara Sabah dan Kuching FA, menjalani PKPB dan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) di negeri masing-masing.

“Buat masa ini Piala Malaysia 2020 masih dalam perancangan untuk diteruskan. Kami masih mempunyai masa yang cukup untuk meneruskannya memandangkan format baharu tanpa saingan peringkat kumpulan dan timbal balik.

“Pastinya, MFL akan sentiasa memantau perkembangan terkini situasi Covid-19 dengan berhubung dengan kedua-dua kementerian itu,” tegas Ghani yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, pindaan ini selari arahan dan saranan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan supaya tiada sebarang aktiviti sukan dilangsungkan khususnya di kawasan atau negeri yang menjalani PKPB.

MFL selain itu katanya, turut meminda tarikh dan venue perlawanan Liga Super antara Sabah dan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam dan Kuala Lumpur menentang Kuching FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dalam Liga Perdana dari 10 Oktober lalu ke 31 Oktober.

“Sebelum ini gelanggang perlawanan Sabah-UiTM FC ialah Stadium Likas, Kota Kinabalu namun terpaksa diubah selepas kawasan itu diisytiharkan sebagai Zon Merah dan dikenakan PKPB dari 13 Oktober hingga 26 Oktober 2020.

“Perubahan tarikh ini masih memastikan setiap pasukan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan antara tiga dan empat hari.

Saya berharap semua pemain dan pegawai terus mematuhi SOP bagi memastikan keselamatan diri dan kelancaran Liga Malaysia 2020,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here