EcoWorld bukan syarikat ‘tenat’

0
521

KUALA LUMPUR — Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) bukan pemaju hartanah dan yang ‘tenat’ dan cadangan penggabungannya dengan UEM Sunrise Bhd adalah bukan langkah menyelamat EcoWorld, demikian tegas Pengasas dan juga Pengarahnya, Tan Sri Rashid Manaf.

Beliau menepis dakwaan sebilangan pihak yang mengatakan pemaju hartanah yang memiliki projek besar di Malaysia dan juga United Kingdom itu kini tertekan dari segi kewangannya.

“Saya ingin tegaskan EcoWorld tidak berada dalam keadaan ‘tenat’ dan perlu diselamatkan. Dakwaan itu jauh daripada hakikat sebenar.

“Penelitian mudah keputusan kewangan suku tahunan terkini kami iaitu pada suku ketiga 2020 boleh menjelaskan perkara ini seperti berikut, iaitu pertamanya meskipun pelbagai cabaran dihadapi industri pembangunan hartanah kini, ditambah pula kesan penularan COVID-19, EcoWorld tetap dan sentiasa mencatatkan keuntungan secara konsisten.

“Pada suku ketiga 2020, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai RM68.7 juta, berbanding kerugian yang dicatatkan kebanyakan syarikat pemaju lain termasuk UEM Sunrise (bagi tahun ini sehingga suku kedua 2020 kerugian RM115.8 juta),” katanya kepada BH.

Baru-baru ini UEM Group Bhd, syarikat induk UEM Sunrise telah mengemukakan cadangan penggabungan UEM Sunrise dan EcoWorld, yang jika terlaksana akan menyaksikan EcoWorld menjadi anak syarikat UEM Sunrise dan akan dikeluarkan daripada penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Penggabungan itu akan dilaksanakan menerusi pertukaran saham dan waran, sekali gus akan menyaksikan Khazanah Nasional Bhd menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat yang bergabung itu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin akan memiliki 3.6 peratus saham dalam entiti gabungan itu dan anaknya, Liew Tian Xiong akan memegang 2.8 peratus saham. Tiga entiti yang memiliki pegangan dalam EcoWorld iaitu Sinarmas Harta Sdn Bhd, Eco World Development Holdings Sdn Bhd dan Jernih Padu Sdn Bhd masing-masing akan memegang saham sebanyak 12.6 peratus, 3.4 peratus dan 1.9 peratus.

Mengenai kedudukan hutang EcoWorld yang didakwa tinggi, Rashid menegaskan hutang bersih syarikat itu adalah RM2.98 bilion iaitu lebih rendah dari segi hakiki berbanding hutang bersih UEM Sunrise iaitu RM3.4 bilion.

“Penting untuk diambil maklum, pembangunan hartanah adalah suatu industri yang memerlukan modal yang intensif. Berikutan itu kedudukan hutang bersih kami bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan.

“Lebih penting adalah keupayaan kami untuk melunaskan hutang ini dan untuk meneliti keupayaan ini, kedudukan jualan belum dibayar penuh (unbilled sales) sesebuah syarikat harus diambil kira,” katanya.

Dari sudut ini, beliau menjelaskan, pendapatan masa hadapan (iaitu ‘unbilled sales’ berdasarkan SPA yang dimeterai) anak syarikat dan usaha sama EcoWorld adalah RM4.425 bilion sehingga 31 Ogos 2020.

Kedudukan ini, katanya, menjadikan ‘unbilled sales’ adalah 1.48 kali ganda berbanding hutang bersih, iaitu antara yang paling mantap dalam industri.

“Kemampuan kami untuk membayar semula hutang juga dapat dilihat daripada keupayaan secara teguh untuk mengurangkan kedudukan nisbah hutang atau gearan bersih kami sepanjang enam tempoh suku tahunan kepada paras semasa iaitu 0.64 kali (daripada 0.7 kali),” katanya.

Mengenai nisbah hutang UEM Sunrise itu 0.4 kali dalah lebih rendah berbanding EcoWorld, Rashid menjelaskan ia berikutan dana pemegang saham Ecoworld yang lebih kecil kerana Ecoworld baru berusia kira-kira enam tahun dan nisbah gearan itu adalah lebih tinggi daripada UEM Sunrise, meskipun hutang bersih EcoWorld lebih rendah dari segi hakiki.

“Selain itu, rekod pencapaian kami harus juga diambil kira iaitu berjaya mencatatkan jualan di dalam negara sebanyak RM20.5 bilion sejak kami mula muncul di persada hartanah pada 2013, dengan RM6.8 bilion disumbang oleh projek kami di Iskandar Malaysia.

“Pencapaian ini mungkin antara sebab UEM Group yakin Ecoworld adalah rakan kongsi bersesuaian untuk membebaskan nilai bank tanah yang dimiliki UEM Sunrise di sana,” katanya

Mengenai rasional cadangan penggabungan itu, Rashid berkata, ia dinyatakan dengan jelas dalam surat pelawaan daripada UEM Group pada 2 Oktober lalu.

Daripada sudut pandang EcoWorld, katanya, cadangan itu adalah peluang membentuk rakan kongsi dengan pemaju lain dan adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan.

Ini memandangkan UEM Sunrise juga adalah pemaju yang mempunyai jenama kukuh dan kekuatannya yang saling melengkapi.

“Kelebihan UEM Sunrise adalah kepakaran memajukan kediaman pencakar langit, manakala kekuatan kami adalah membangunkan taman perbandaran dan perniagaan, selain memiliki bank tanah di kawasan yang mencatatkan pertumbuhan pesat.

“Ini adalah sebahagian daripada faktor yang akan diteliti oleh Lembaga Pengarah kami apabila ia bermesyuarat sebelum memberi maklum balas kepada UEM Group menjelang 30 Oktober 2020,” katanya.

https://bit.ly/3lOdFbT
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here